Para kaji purba menemukan patung batu marmar domba di Caesarea Harbor National Park di kawasan pesisiran Laut Mediterranea pada 24 Disember 2015 |
Sebuah patung batu marmar domba jantan ukiran tangan yang telah dijumpai minggu lepas di kawasan persisiran Laut Mediterranea di Israel telah membuat para pengkaji purba meneka siapakah yang telah mengukir patung itu.
Para pengkaji purba telah menemukan patung itu pada hari Khamis (24 Disember), tetapi mereka berkata adalah tidak jelas samada ianya telah diukir oleh tukang-tukang seni Byzantin, atau ianya telah dibuat oleh orang-orang Rum dan kemudian digunakan semula untuk tujuan lain oleh gereja Byzantin, begitu kata Jabatan Antik Israel.
Para penyelidik itu menjumpai patung itu semasa penggalian sebuah gereja kuno di Caesarea Harbor National Park, yang terletak lebih kurang 25 batu (40 kilometer) di selatan Haifa.
"Caesarea (Kaisaria) tidak pernah berhenti memberi kejutan, seperti dibuktikan oleh patung yang menakjubkan ini," kata Peter Gendelman dan Mohammad Hater, pengarah-pengarah penggalian yang bekerja mewakili Jabatan Antik Israel dalam satu kenyataan.
Tukang-tukang seni purba kala telah mengukir dengan teliti patung domba jantan itu |
Walaupun artifak itu sudah berusia, ukiran asalnya masih dapat dilihat pada patung setinggi 1.3 kaki dan sepanjang 1 kaki (40 sentimeter kali 30 sentimeter). Bulu domba yang beralun dan tanduknya yang berbelit jelas kelihatan.
Ada kemungkinan tukang-tukang seni telah mengukir domba jantan itu untuk tujuan keagamaan, kata para pengkaji purba itu. Dalam Perjanjian Baru Alkitab, terdapat ayat yang merujuk kepada Yesus sebagai domba: "Pada keesokan harinya Yohanes melihat Yesus datang kepadanya
dan ia berkata: 'Lihatlah Anak domba Allah, yang menghapus dosa dunia.'"
Domba-domba jantan beserta dengan anak-anak domba, sering digunakan dalam kesenian Kristian untuk mewakili orang-orang Kristian yang setia, atau Yesus sendiri, kata Jabatan Antik Israel dalam satu kenyataan. Kadangkala tukang-tukang seni purbakala menggambarkan domba jantan di atas bahu Yesus. Pada waktu-waktu lain seekor domba jantan ditunjukkan di sebelah kiri atau kanan "Gembala Yang Baik" yang menunjukkan bagaimana Dia menjaga kawanan domba.
"Dalam Kekristianan kuno, Yesus tidak dilakar sebagai seorang peribadi," kata Genderman dan Hater. "Sebaliknya, simbol-simbol digunakan, dan salah satunya adalah domba jantan."
Patung domba jantan itu mungkin adalah simbol keagamaan melambangkan Yesus |
"Patung yang kami jumpai mungkin adalah sebahagian perhiasan sebuah gereja Byzantin dari kurun keenam hingga ketujuh Selepas Masihi di Caesarea," kata Gendelman dan Hater. "Pada masa yang sama, ianya mungkin boleh juga lebih awal, dari zaman Rum, dan kemudian dipakai semula untuk kegunaan sampingan dalam pembangunan gereja."
(Dipetik dan diterjemah daripada artikel Live Science bertajuk, "Ram Statue Unearthed On Christmas Eve May Represent Christ" penulisan Laura Geggel bertarikh 28 Disember 2015)