Lelaki itu dipenjarakan kerana memiliki senjata api pada 1988 membuka lembaran baharu selepas menemui Tuhan dalam penjara, dan dibebaskan selepas tiga dekad dalam penjara.
PETALING JAYA: Tempoh 28 tahun dalam penjara mampu
menjadikan seseorang individu itu insan kuat, atau manusia yang patah semangatnya.
Sam Kian Sang (Foto: The Star) |
Dia diberikan pengampunan diraja selepas 28 tahun.
Akhbar The Star melaporkan, Kian Sang ialah bekas samseng,
yang dipenjarakan pada umur 31 tahun, pada September 1988 atas kesalahan
memiliki senjata api.
Dia terlepas hukuman mati mandatori kerana pemilikan senjata
api hanya kerana dia dikenal pasti sebagai bukan “pesalah utama”.
Sebaliknya, dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, yang
bermakna dia akan menghabiskan keseluruhan hidupnya dan mati dalam penjara,
ditambah hukuman enam kali sebatan.
Menurut Kian Sang, tiga tahun pertama dalam penjara sangat
sukar kerana di hatinya penuh rasa marah dan enggan menerima takdirnya.
Kemudian, datang rasa penerimaan, di mana dia belajar
mengawal emosinya dan “bertenang”.
“Ini kehidupan. Bagaimana saya dapat kesabaran itu? Kerana
saya percaya pada Tuhan dan Tuhan beri saya kekuatan. Saya fokus kepada kekal
positif dan mengubah 100% untuk menjadi orang yang baik.
“Teman banduan lain beritahu saya mereka hampir gila selepas
beberapa tahun dalam penjara. Saya bantu mereka untuk berfikiran positif, menjadikan
saya sebagai contoh,” katanya.
Selepas tiga tahun dalam penjara, Kian Sang memutuskan untuk
mempelajari bahasa Inggeris dan mula mengkaji Bible – dengan bantuan kamus
Oxford di sisinya.
Sebagai ketua gereja di penjara Kajang, dia juga mengetuai
upacara agama setiap hari dan mengadakan kelas Bible di penjara, termasuk untuk
bekas penjenayah tegar. Dia juga berjaya memulihkan banduan lain yang sukar
dikendalikan warden penjara.
Satu lagi sikap Kian Sang yang menjadikan dirinya dikenali
ramai dalam penjara ialah mengagihkan sabun dan kelengkapan mandian kepada
banduan lain, menurut laporan itu.
Melihat kepada kebaikannya, peguam dan NGO mula berkempen
untuk pembebasannya. Kempen mereka turut disokong warden penjara, yang melihat
Kian Sang sebagai model kepada banduan.
Awal minggu ini, Yang Di-Pertuan Agong mengeluarkan
pengampunan diraja kepada Kian Sang.
Hidangan pertama di luar penjara: Sam sedang menikmati mi wan tan kegemarannya di Jalan Petaling, Kuala Lumpur selepas dibebaskan dari penjara (Foto: The Star) |
Dapat kembali menjadi individu bebas, Kian Sang akhirnya
dapat menikmati mi wan tan kegemarannya, kata laporan itu.
Dia juga kini belajar menggunakan telefon bimbit dan
merancang untuk berpindah ke Rumah Petros, rumah persinggahan sebelum bertemu
kembali dengan keluarga dan ahli gereja.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Samseng Insaf, Jadi Pendakwah Kristian Diberi Pengampunan" bertarikh 27 Julai 2016)