Rabu, 13 Julai 2016

Theresa May, Bakal Perdana Menteri UK: Anak Seorang Paderi, Kristian Yang Bersifat Peribadi

Theresa May, telah dipilih untuk menjadi Perdana Menteri Britain yang seterusnya

Theresa May telah disahkan sebagai perdana menteri Britain yang seterusnya apabila satu-satunya pesaingnya, Andrea Leedsom dari parti Conservative yang sama, mengumumkan pada hari Isnin bahawa dia menarik diri daripada persaingan untuk jawatan itu. 

David Cameron mengumumkan sejurus selepas itu bahawa dia akan menyampaikan perletakan jawatannya kepada Ratu Elizabeth pada hari Rabu, dengan itu menunaikan janjinya untuk memberi laluan kepada seorang pemimpin lain untuk mengambil tempatnya dan mengambil alih cabaran perpisahan daripada European Union, berikutan referendum Jun. 

May akan menjadi perdana menteri wanita pertama sejak Margaret Thatcher. Menteri Dalam Negeri itu telah kebanyakan masanya memilih melindungi privasi kehidupan peribadinya, tetapi berikut adalah 5 fakta mengenai bakal perdana menteri ini. 

1) Membesar sebagai anak seorang paderi tempatan, dia menganggap politik lebih sebagai sesuatu "panggilan" daripada sebagai pekerjaan. 

"Saya tahu bahawa sebilangan ahli politik yang mencari kedudukan tinggi kerana mereka didorong oleh semangat ideologi. Saya tahu ada juga yang mencarinya kerana cita-cita dan kemasyhuran. Sebab-sebab saya adalah lebih ringkas. Saya membesar sebagai anak seorang paderi tempatan dan sebagai cucu seorang askar sarjan mejar. Perkhidmatan awam adalah sebahagian hidup saya sejauh yang dapat saya ingat."

Mengenai ayahnya, Rev Hubert Brasier, dia berkata, "Ingatan awal saya mengenai ayah yang tidak selalunya dapat bersama seperti yang kami inginkan, tetapi dia juga ada bersama pada banyak waktu dan pada waktu-waktu lain yang tidak dapat diluangkan oleh ibubapa-ibubapa yang biasa."

2) Iman Kristiannya

May berkata bahawa iman Kristiannya adalah bahagian yang penting dalam hidupnya, dan dia adalah seorang penganut Church of England yang aktif, tetapi lebih suka mengekalkan privasi hidup peribadinya dari tumpuan umum. 

"Ia (iman Kristiannya) adalah sebahagian daripada saya. Ianya adalah sebahagian daripada siapa diri saya dan dengan itu bagaimana saya menghadapi sesuatu perkara," dia memberitahu program BBC, "Desert Island Discs."

May menegaskan bahawa adalah baik bahawa ahli-ahli politik British tidak begitu mengucapkan mengenai iman seperti rakan-rakan mereka di Amerika. 

"Saya fikir adalah berpatutan bahawa kita tidak menonjolkan hal-hal sebegitu dalam politik British. Tetapi ianya adalah sebahagian daripada saya. Ianya ada di situ dan ianya ternyata membantu saya merangka pemikiran dan pendekatan saya."

3) Dia memiliki rekod mengundi pro-hidup

Christian Examiner menyatakan bahawa pada 2012, May telah berkempen untuk had jangka waktu pengguguran bayi dikurangkan dari kehamilan 24 minggu ke 20, dengan merujuk kemajuan saintifik yang membolehkan bayi-bayi belum cukup umur yang dilahirkan pada 24 minggu untuk terus hidup.

"Saya percaya ada ruangan untuk pengurangan," May memberitahu Radio 4 BBC. "Pendapat peribadi saya ialah pengurangan ke 20 minggu."

Premier Christianity menyatakan bahawa dia telah mengundi menentang pengenalan undang-undang yang membenarkan bantuan untuk pengambilan nyawa sendiri di Britain. 

[Nota Admin blog domba2domba: Saya secara peribadi tidak bersetuju dengan pengguguran samada dihadkan kepada 24 minggu ataupun 20 minggu]

4) May telah berucap menentang ketidakserataan dan ketidakadilan dalam masyarakat, dengan memberi perhatian khusus kepada nasib orang-orang miskin dan kaum-kaum minoriti

"Jika anda dilahirkan miskin, anda akan meninggal dunia secara puratanya sembilan tahun lebih awal daripada orang lain. Jika anda berkulit hitam, anda akan dilayani dengan lebih keras oleh sistem pengadilan jenayah berbanding jika anda berkulit putih. Jika anda adalah dari keluarga kelas bawahan, anda memiliki paling sedikit kemungkinan pergi ke universiti berbanding dengan orang lain," pemimpin Conservative itu pernah mengatakan.

"Jika anda belajar di sebuah sekolah awam, anda kurang kemungkinan mencapai bidang-bidang profesion tertinggi berbanding jika anda mendapat pendidikan swasta. Jika anda seorang wanita, anda masih mendapat pendapatan yang lebih rendah berbanding seorang lelaki. Jika anda mempunyai masalah kesihatan mental, seringkalinya pertolongan yang dapat dihulurkan tidak mencukupi." 

Dia telah berikrar untuk menentang "ketidakadilan yang membara" seperti ini, dan menyeru kepada para Conservative untuk "memberikan diri kita dalam perkhidmatan kepada orang-orang biasa yang bekerja." 

5) May telah memberi sokongan kepada undi UK menentang EU, dan telah berikrar untuk membina "Britain yang lebih baik"

Dalam kenyataannya berikutan pengesahan bahawa dia akan menjadi perdana menteri UK yang seterusnya, May menegaskan bahawa "Brexit bererti Brexit dan kita akan menjadikannya suatu kejayaan."

Dia menambah bahawa UK akan memerlukan kesatuan, kepimpinan yang kuat, dan visi yang positif untuk masa depan.

"Visi untuk satu negara yang akan berkhidmat bukan hanya untuk beberapa orang yang mempunyai keistmewaan, tetapi yang berkhidmat untuk setiap daripada kita. 

"Kerana kita akan memberikan kepada orang awam lebih kuasa ke atas hidup mereka. Itulah caranya kita akan, bersama-sama, membina Britain yang lebih baik," katanya. 

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel The Christian Post bertajuk, "Theresa May, The UK Next Prime Minister: 5 Facts About Vicar's Daughter, Private Christian" yang ditulis oleh Stoyan Zaimov bertarikh 12 Julai 2016)


[Nota Admin, 14 Julai 2016 - Pada pagi ini saya mendapat makluman daripada seorang pembaca mengenai Theresa May. Kata pembaca itu, "Theresa May adalah salah satu daripada Ahli Parlimen Conservative yang telah memberi sokongan kepada perkahwinan sama jantina pada 2012. Theresa telah mengatakan bahawa, 'Saya percaya jika dua orang mengasihi satu sama lain, mereka harus dapat berkahwin, perkahwinan seharusnya untuk semua orang.'" Sebagai admin blog ini, saya kesal sokongannya untuk perkara itu, dan tidak menyetujui sama sekali pendiriannya yang tidak konsisten dengan ajaran Alkitab]