Jumaat, 17 Mac 2017

Siapakah St. Patrick Yang Sebenar?


Hari St. Patrick dirayakan setiap tahun pada 17 Mac. Terdapat pelbagai lagenda mengenainya, tetapi siapakah St. Patrick yang sebenarnya?

Mula-mula beberapa kesalahfahaman mengenai St. Patrick:

Patrick bukanlah sebenarnya seorang Santo yang rasmi, oleh kerana dia tidak pernah dikanunkan secara rasmi oleh Rum. Dan Patrick tidak mungkin telah mengusirkan semua ular dari Ireland kerana sebenarnya tidak pernah ada ular di negara itu. Dia bukan juga penginjil yang pertama ke Ireland (Palladius telah diutus ke Ireland pada tahun 431, lebih kurang 5 tahun sebelum Patrick ke situ). Patrick sendirinya bukan orang Ireland. Dia berasal dari apa yang sekarang dikenali sebagai Dumbarton, Scotland (di timur laut Glasgow).

Ditangkap Menjadi Hamba

Ketika Patrick berusia 16 tahun pada tahun 405, dia telah ditangkap semasa satu serbuan dan telah menjadi hamba abdi di Ireland yang pada masa itu masih kuat dalam kepercayaan pagan. Jauh dari kampung halamannya, dia berpaut kepada agama yang telah diabaikannya dulu semasa remajanya. Walaupun datuknya pernah menjadi paderi, dan ayahnya seorang anggota majlis bandar, "Patrick tidak mengenal Tuhan yang benar." Tetapi ketika dipaksa menjaga domba-domba tuannya di Ireland, dia telah menghabiskan kebanyakan masa enam tahun perhambaannya di dalam doa. Dia melepaskan dirinya selepas mendapat suatu mimpi dan kembali ke rumahnya.

Patrick Kembali Lagi Ke Ireland

Patrick sudah berusia 40 lebih tahun ketika dia kembali ke Ireland. Palladius tidak begitu berjaya dalam misinya, dan bekas hamba abdi yang kembali itu menggantikannya. Dia faham betul sistem kesukuan Irish (tuan lamanya, Milchu adalah seorang ketua suku). Strategi Patrick adalah untuk membawa ketua-ketua suku masuk Kristian terlebih dahulu, mereka akan kemudiannya membawa suku mereka masuk Kristian melalui pengaruh mereka. Dilaporkan bahawa, Milchu adalah salah seorang yang paling awal masuk Kristian melalui Patrick.

Walaupun bukan dia seorang yang telah berperanan membawa penduduk-penduduk pulau itu masuk Kristian, Patrick telah sangat berjaya. Dia melakukan pengembaraan misi ke seluruh Ireland, dan tidak lama dari itu Ireland telah dikenali sebagai salah satu pusat Kristian Eropah. Ini tentu saja sangat penting bagi orang-orang Kristian abad kelima, yang mana bagi mereka Ireland merupakan sebahagian daripada "hujung bumi."

(Dipetik dan diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Christianity Today bertajuk, "The Real St. Patrick" yang ditulis oleh Ted Olsen bertarikh 8 Ogos 2008)