Isnin, 17 April 2017

Kedutaan Malaysia Bantu Pastikan Peter Chong Pulang Selamat


KUALA LUMPUR: Peter Chong, bekas anggota perbandaran Petaling Jaya, yang telah dilaporkan hilang dan kembali dua minggu kemudiannya telah meminta pertolongan daripada Kedutaan Malaysia di Bangkok untuk mengatur perjalanan pulangnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, kedutaan itu mengatakan Chong, 54, telah menghubungi mereka pada 15 April.

"Dia memaklumkan kami bahawa dia berada di Pattaya dan kami membantu menguruskan wang yang dihantar oleh keluarga Chong dari Malaysia.

"Dia menaiki Malindo Airlines pada 9.05 pagi pada hari Ahad untuk kembali ke Malaysia melalui Don Mueang International Airport," begitu dinyatakan dalam kenyataan itu. 

Kedutaan itu berkata bahawa Bukit Aman telah menghubungi Duta Besar Malaysia ke Negara Thai, Datuk Nazirah Hussain mengenai kehilangan Chong Isnin lalu setelah polis mendapati bahawa dia telah menyeberangi sempadan Bukit Kayu Hitam ke Negara Thai pada 7 April.

Kedutaan kemudiannya memohon bantuan pihak berkuasa Thai untuk mengesan keberadaan Chong.

Chong muncul kembali semalam selepas hilang selama lebih kurang dua minggu.

Dia mendakwa bahwa dia telah diculik di HatYai, Negara Thai, di mana dia berada selama itu. 

Dia memberitahu polis bahawa dia telah pergi ke Hatyai untuk bertemu satu sumber yang mendakwa mempunyai maklumat mengenai keberadaan Pastor Raymond Koh, yang didakwa telah diculik di Petaling Jaya, pada 13 Feb.

Bagaimanapun, ketika dia sampai ke bandar di bahagian selatan Thai itu, Chong mendakwa bahawa dia telah diculik dan dibawa ke utara, ke Pattaya. 

Identiti penculik dan niat untuk penculikan yang didakwa itu tidak diketahui.

Kepulangannya telah diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, apabila dia menghantar tweet dengan dua foto aktivis itu, yang dipercayai diambil di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pada lebih kurang 1 petang. 

Khalid berkata polis telah merekod kenyataan Chong selepas ketibaannya di lapangan terbang itu.

(Dipetik dan diterjemah daripada artikel New Straits Times bertajuk, "Malaysian Embassy Helps Ensure 'Missing' Activist Peter Chong's Safe Return" yang ditulis oleh Teoh Pei Ying dan Olivia Miwil bertarikh 17 April 2017)