Rabu, 5 April 2017

Orang Ramai Menghadiri Kebaktian Doa Untuk Pastor Yang Diculik


PETALING JAYA: Sejumlah besar orang ramai telah berkumpul di Gereja Methodist Subang di Sungai Way untuk menghadiri satu kebaktian doa untuk Pastor Raymond Koh yang telah diculik 50 hari yang lepas.

Di antara pemimpin-pemimpin gereja di kebaktian itu adalah Biskop Besar Kuala Lumpur, Rev Father Julian Leow Beng Kim, yang merupakan ketua Gereja Katolik di Malaysia, Biskop Gereja Methodist, Dr Ong Hwai Teik, dan Biskop Besar Anglikan Asia Tenggara, Datuk Ng Moon Hing.

Turut hadir juga setiausaha agung Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM), Rev Dr Herman Shastri.

Jemaat daripada 72 gereja telah mula memasuki gereja seawal sejam sebelum kebaktian bermula pada kira-kira 8.30 malam.

Semasa kebaktian itu, isteri Pastor Koh, Susanna Liew, dan anak-anaknya Jonathan, Esther dan Elizabeth, membaca ayat-ayat dari Alkitab dan menyampaikan sebuah puisi bertajuk, "Di Manakah Raymond Koh?"

(Dari kiri) Pastor Daniel bersama Jonathan, Elizabeth, Esther dan Susanna

Malam tadi merupakan kali pertama pemimpin-pemimpin gereja daripada pelbagai denominasi telah berkumpul untuk kebaktian itu. Sebelum ini acara berjaga-jaga berlilin telah diadakan di sekeliling negara dalam solidariti bersama Koh dan keluarganya.

Koh, 62, telah diculik oleh sekumpulan lelaki di Jalan SS4B/10 di Petaling Jaya pada 13 Feb semasa dalam perjalanan ke rumah kawan.

Rakaman CCTV menunjukkan sekurang-kurangnya 15 lelaki dalam tiga kereta SUV terlibat dalam penculikan itu.

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel The Star bertajuk, "Large Crowds Attends Prayer Service For Abducted Pastor" bertarikh 5 April 2017)