Rabu, 5 April 2017

Kata-kata Yesus Akan Dipamerkan Di Bas-Bas London Pada Paskah Ini Dalam Kempen Baru Penginjilan

Kata-kata Yesus akan dipamerkan di bas-bas London pada Paskah ini dalam kempen penginjilan yang bertujuan memenangi hati dan minda dan membangkitkan "pengharapan" di kalangan penduduk di ibu kota itu.

Kempen Bas "Quote Jesus" (Kata-Kata Yesus) akan dipamerkan pada 75 bas Routemaster London yang terkenal itu selama dua minggu dari 10 April.

Bas-bas itu akan menunjukkan kata-kata Yesus termasuklah "Setiap orang yang hidup dan yang percaya kepada-Ku, tidak akan mati selama-lamanya", "Di rumah Bapa-Ku banyak tempat tinggal", "Akulah jalan dan kebenaran dan hidup".

Howard Conder, pengasas Revelation TV dan daya kreatif di sebalik kempen ini, berkata, "Selepas serangan di Westminster adalah jelas bahawa pengharapan, atau lebih tepat kekurangan pengharapan, sudah menjadi isu bagi generasi ini.

"Kami percaya bahawa Alkitab banyak berbicara mengenai 'pengharapan', dan visi kami untuk kempen ini adalah untuk mempengaruhi hati, minda dan penanggapan generasi ini, dan menawarkan pengharapan dan iman untuk masa depan yang lebih baik.

"Semasa saya membesar, mengikuti ibadah di gereja adalah amalan biasa dalam kehidupan, tetapi hari ini berapa ramaikah orang yang tahu bahawa Yesus telah mengatakan, 'Sebab itu janganlah kamu khuatir akan hari esok, kerana hari esok mempunyai kesusahannya sendiri' atau 'Marilah kepada-Ku, semua yang letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberi kelegaan kepadamu'?"

Conder menambah "Alkitab adalah kitab yang memberi pengharapan dan generasi ini kerugian kerana mereka hanya memiliki sedikit pengetahuan mengenai apa yang dikatakan Alkitab".

Pihak penganjur berkata terdapat rancangan untuk mengembangkan kempen itu ke lokasi-lokasi lain, di United Kingdom dan di sekeliling dunia, dengan menggunakan bas dan media pengiklanan yang lain. 

Conder berkata bahawa ilham untuk Quote Jesus telah datang daripada pengalamannya sendiri. "Membesar semasa tahun 60an dan terlibat dalam arena muzik, saya telah terdedah kepada banyak pengaruh, tetapi kata-kata Yesuslah yang menyakinkan dan meninggalkan kesan terbesar. Saya mahu orang lain juga mengalami apa yang saya alami dan memahami bahawa ada pengharapan, untuk diri kita dan untuk dunia yang lebih baik."

Serentak dengan pengiklanan bas, kempen itu juga dijalankan secara online (www.quotejesus.com) dan melalui media sosial (#quotejesus).



Kempen poster Kristian ini muncul selepas "kempen bas ateis" yang menimbulkan kontroversi yang telah dilancarkan pada 2009 oleh British Humanist Association, di mana bas-bas menunjukkan iklan yang menyatakan "Kemungkinannya tiada Tuhan. Oleh itu hentikan kekhuatiranmu dan nikmatilah hidupmu."

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Christian Today bertajuk, "Words Of Jesus To Be Emblazoned On London Buses This Easter In New Evangelical Campaign" yang ditulis oleh James Macintyre bertarikh 3 April 2017)