Isnin, 24 Julai 2017

Lebih 1.3 Juta Bukan Warganegara Malaysia Di Sabah: Pensyarah


Kota Kinabalu: Lebih separuh daripada 2.6 juta bukan warganegara Malaysia termasuk orang-orang pelarian, yang tidak berdokumen, tidak bernegara dan pekerja-pekerja pendatang asing yang tinggal di negara ini berada di Sabah.

Data itu, diambil daripada laporan Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pada 2015 juga menunjukkan daripada jumlah itu, 451,900 adalah kanak-kanak dan orang-orang muda berusia 19 tahun dan ke bawah.

Pada 2008, Malaysia adalah tempat kedua paling popular untuk pelarian selepas Kenya. Data pada 2011 melaporkan terdapat lebih daripada 72,000 kanak-kanak di Malaysia di bawah umur 15 tahun yang hidup dalam keadaan yang sukar tanpa kemampuan untuk memenuhi keperluan asas mereka. 

"Sebahagian daripada mereka kemungkinan adalah kanak-kanak tanpa negara generasi kedua yang dilahirkan dari ibubapa tanpa negara," kata Profesor Pendidikan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Vincent Pang semasa pembentangan kertas kerjanya bertajuk, "Pendidikan untuk Kanak-Kanak Tanpa Negara di Malaysia" di Persidangan Pertama Pendidikan Tinggi BIMP-EAGA di sini pada hari Rabu.

Satu lagi data daripada Unicef pada 2012 menganggarkan sekitar 44,000 kanak-kanak Malaysia yang diahirkan di negara ini kepada pendatang asing tanpa izin tinggal di jalanraya dan tidak menghadiri sekolah. Mereka juga tidak dianggap sebagai warganegara. 

Dua tahun kemudian di Sabah, keadaan bertambah suram lagi dengan dilaporkan terdapat 50,000 kanak-kanak tanpa negara yang tidak mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan. 

Satu laporan yang lebih baru daripada Pasukan Petugas Khas Persekutuan di Sabah dan Labuan pada 2016 menganggarkan 30,000 kanak-kanak yang dilahirkan dari ibubapa yang tiada dokumen, yang secara automatik menyebabkan kanak-kanak itu juga tiada dokumen.

Siapa Tergolong Kanak-Kanak Tanpa Negara

Pang menerangkan bahawa kanak-kanak tanpa negara termasuklah kanak-kanak tempatan yang tidak didaftarkan oleh kerana kurangnya pengetahuan dan kemiskinan yang teruk, sebagai contohnya "Gipsi Laut" dan termasuk juga mereka yang tinggal kawasan-kawasan terpencil di Sabah.

Kanak-kanak juga menjadi tanpa negara jika dilahirkan kepada pekerja pendatang asing dan kelahiran mereka tidak didaftarkan di kedutaan mereka masing-masing, dan dengan itu menjadikannya mustahil untuk mengesan negara asal keluarga mereka.

"Ini adalah kanak-kanak yang tidak dilihat di Sabah; kanak-kanak tanpa negara, anak-anak pekerja pendatang asing, mereka yang dilahirkan daripada perkahwinan campur, yang dari perkahwinan yang tidak didaftarkan, kanak-kanak yang lahir dengan cepat selepas perkahwinan, dan termasuk juga kanak-anak daripada bangsa-bangsa pribumi tempatan.

Masalah Pendidikan Untuk Kanak-Kanak Tanpa Negara

Pada 2002, Kerajaan Malaysia telah meminda Akta Pendidikan 1996 untuk menyekat pendidikan percuma untuk bukan warganegara Malaysia iaitu kanak-kanak pendatang asing tanpa dokumen yang tinggal di Malaysia yang perlu membayar yuran sekolah untuk mengikuti sekolah-sekolah kerajaan.

"Ini bererti bahawa mereka hanya mempunyai pilihan untuk ke pusat-pusat pendidikan alternatif (PPA) yang mana sukatan pendidikannya kadangkala tidak mencukupi kerana sukatan mereka tidak dalam rangka sistem kebangsaan yang formal," katanya.

Tambahan lagi, katanya oleh kerana pusat-pusat pendidikan alternatif (PPA) ini kebanyakannya menawarkan pendidikan tahap sekolah rendah, masa hadapan kanak-kanak tanpa negara masih kabur kerana pilihan yang terhad untuk meneruskan pendidikan selepas Darjah 6.

Majoriti yang tamat Darjah 6, akan pergi mencari pekerjaan yang sesuai dengan umur, tahap kecerdasan dan kebolehan mereka.

Pada waktu ini, Pang berkata terdapat 369 PPA di Sabah dengan kerajaan Indonesia menyediakan 208 pusat untuk kanak-kanak Indonesia, 137 oleh Humana Child Aid Society Sabah untuk kebanyakannya anak-anak pekerja ladang, 12 pusat oleh Majlis Keselamatan Negara, lapan untuk Bajau Laut, enam oleh PPA yang disokong oleh Kedutaan Filipina dan enam lagi oleh sebuah NGO berasaskan iman.

Hanya 10 peratus daripada kanak-kanak pelarian dan tanpa dokumen ini belajar di 12 pusat yang dikendalikan oleh Majlis Keselamatan Negara di Sabah, sementara 180 pelajar yang berhenti persekolahan dilaporkan pada Jun 2015 di antara semua PPA atas sebab-sebab ibubapa berpindah ke lain tempat di Malaysia, ibubapa yang ingin mereka bekerja, dan untuk kanak-kanak perempuan, "membantu dalam tugas-tugas dalam keluarga."

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Daily Express yang bertajuk, "More Than 1.3 Million Non-Malaysians In Sabah: Don" bertarikh 21 Julai 2017)