Ronnie Vun Yun Heu (Sumber Foto: The Malaysian Insight) |
TIDAK bimbang dengan halangan yang dihadapi terhadap
rancangannya menubuhkan stesen radio Kristian di Sabah, Ronnie Vun Yun Heu, 55,
berharap pendengaran di mahkamah pada minggu depan akan memberinya kebenaran
untuk meneruskan usaha yang pertama seumpamanya di negara ini.
"Pada masa ini, kami mempunyai stesen radio Islam yang
mempromosikan pengajaran, azan solat dan bimbingan perkara kerohanian kepada
umat Islam.
"Saya percaya penting untuk mendidik iman dan amalan
yang baik di kalangan umat Islam.
"Di sisi yang sama, penganut Kristian di Sabah terdiri
daripada 25% pengundi yang boleh mendapat manfaat daripada radio ini,"
kata Vun kepada The Malaysian Insight mengenai rancangannya.
Anak jati Kota Belud itu berkata permohonan mahkamahnya
berdasarkan fakta yang kebebasan beragama dibenarkan dalam Perlembagaan
Malaysia, dengan Perkara 11 memberi setiap orang hak menganut dan mengamalkan
agamanya serta menyebarkannya.
"Kedua, Artikel 3 menyatakan Islam adalah agama negara
tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni," katanya.
Impiannya menubuhkan stesen radio Kristian bermula pada
2014, tetapi berdepan halangan sejak tiga tahun lalu.
Sepanjang tempoh itu, beliau mengakui bertemu para menteri,
termasuk dua pengarah daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM).
"Apabila saya berjumpa dengan pegawai SKMM, ada yang
memberitahu tidak ada permohonan seperti itu sebelum ini, tetapi memberitahu
saya agar mencuba walaupun memberi amaran yang Malaysia adalah negara
Islam," katanya.
Vun berkata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said
Keruak menolak rancangannya walaupun tanpa mengetahui lebih terperinci mengenai
cadangan itu.
"Saya juga cuba mendapatkan Menteri Sains, Teknologi
dan Inovasi Madius Tangau untuk memujuk Salleh mengenai rancangan saya, tetapi
perkara itu sudah lama, dan saya menganggap rancangan saya terkubur di
situ."
Pendengaran mahkamah Vun ditetapkan pada 28 Julai, di mana
beliau berharap memperoleh keizinan menjalankan kerja di stesen, bermula dengan
pembiayaan.
"Ia melibatkan menara transmisi bernilai jutaan
ringgit, penubuhan pejabat di sini di Kota Kinabalu, serta logistik bagi
sistem analog yang akan dihantar ke Sabah, serta bayaran lesen bagi frekuensi
radio yang ditetapkan."
Beliau berkata jurutera yang mengendalikan stesen radio
Kristian Amerika 105.7 FM KHCB sanggup membekalkannya dengan sistem analog
radio.
Pembiayaan awal dijangka datang daripada penganut Kristian
dari dalam negeri dan seluruh dunia.
"Saya melihat transmisi di Kota Kinabalu terlebih
dahulu sebelum mengembangkannya ke bahagian lain di Malaysia Timur, termasuk
kawasan luar bandar, dengan format berbilang bahasa, sama seperti Kupi-Kupi FM
Sabah, tetapi dengan rujukan daripada tulisan dan ajaran kitab Bible,"
kata Vun.
Beliau menambah stesen itu tidak mempunyai iklan dan akan
menyatukan gereja pelbagai denominasi. – 20 Julai, 2017.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Sabah Bakal Ada Stesen Radio Kristian Pertama Jika Diluluskan Mahkamah" yang ditulis oleh Jason Santos bertarikh 20 Julai 2017)