SERAMAI 30 individu termasuk polis, ahli keluarga termasuk
rakan-rakan ditemubual Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung
kehilangan Pastor Raymond Koh dan tiga aktivis.
Suruhanjaya itu juga akan mengadakan siasatan awam pada
Oktober bagi menentukan sama ada tindakan yang cukup diambil pihak berkuasa
bagi mencari empat yang hilang itu.
Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata siasatan kini
sedang berjalan dan lebih banyak lagi temubual dijadualkan.
“Kita mulakan siasatan sebulan selepas menerima memorandum
daripada CAGED – satu gabungan kumpulan masyarakat sivil yaang ditubuhkan pada
Mei.
“Suruhanjaya itu turut menyiasat sama ada berlaku
‘kehilangan paksa’ yang membabitkan agensi kerajaan atau kehilangan sukarela,
yang mana mungkin berpunca daripada penjenayah atau kumpulan agama yang tiada
kaitan denan negeri,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jerald berkata, suruhanjaya itu turut melihat tindakan polis
ke atas kehilangan Koh, Amri Che Mat, Pastor Joshua Hilmi dan isterinya Ruth
Hilmi.
Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari oleh kira-kira
15 lelaki menggunakan sebuah kenderaan SUV berwarna hitam. Kejadian itu berlaku
pada waktu siang dan ia dilihat dirancang dengan rapi.
Polis sebelum ini berkata Koh mungkin diculik sindiket
pemerdagangan manusia yang mempunyai kaitan dengan kumpulan di selatan
Thailand.
Bagaimanapun ahli CAGED mempersoalkan mengapa lelaki berusia
62 tahun diculik dalam seolah-olah operasi ketenteraan dan apa gunanya dia
kepada sindiket pemerdagangan manusia.
Siasatan awam Suhakam akan dipengerusikan tiga pesuruhjaya.
Jerald berkata suruhanjaya itu memutuskan untuk membuat
siasatan awam berhubung kehilangan individu terbabit pada mesyuarat yang
diadakan awal minggu ini.
“Kita akan mengundang pihak Kementerian Dalam Negeri, pihak
berkuasa dan peguam yang mewakili keluarga untuk menjadi pemerhati.
“Salah satu sebab mengapa kita buat siasatan ini adalah
untuk memastikan tindakan betul diambil pihak berkuasa dan polis berhubung
perkara ini.
“Kita diberitahu polis masih meneruskan siasatan yang mana
ia bagus dan kita jangkakan untuk mendapat lebih maklumat pada siasatan itu,”
katanya.
Jurucakap CAGED Thomas Fan memberitahu The Malaysian Insight
mereka menjangkakan jawapan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu berhubung
kehilangan empat individu itu minggu depan.
“Laporan itu dihantar dua bulan lalu dan masih menunggu
maklum balas. Kami percaya Koh adalah mangsa kehilangan paksa berdasarkan
maklumat yang kami ada.
“Kami tidak pasti sama ada kumpulan kerja PBB sudah
menghubungi kerajaan Malaysia berhubung isu itu tapi kami akan hubungi mereka
untuk perkembangan,” katanya.
Fann berkata dia memberi taklimat berhubung kehilangan Koh
kepada warga Malaysia di London ketika berada di sana untuk satu program pada
16 Julai.
“Memandangkan saya ke London, saya terfikir mengapa tidak
adakan forum untuk Koh. Program itu dianjurkan aktivis dan penulis Mariam
Mokhtar.”
Fann berkata mereka menantikan siastan awam oleh Suhakam dan
bekerjasama dengan keluarga Koh untuk menandakan 200 hari kehilangannya.
Jurucakap keluarga Koh berkata,isterinya Susanne Liew
dan tiga anaknya bersama penasihat guaman mereka, mengadakan pertemuan dengan
Suhakam untuk berbincang mengenai kes dan cabaran yang dihadapi keluarganya
dalam mencari jawapan dan perkembangan daripada pihak polis sejak penculikan
itu.
“Pada 7 Julai, peguam Susanna memfailkan aduan rasmi kepada
Suhakam, bersama dokumen dan laporan sokongan.
“Sejak itu, keluarga rakan dan rakan kerjanya memberikan
kerjasama dengan siasatan Suhakam termasuk mengambil keterangan saksi.
“Susanne turut menggesa pihak polis menyokong dan
memberi kerjasama kepada Suhakam,” katanya. – 13 Ogos, 2017.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Suhakam Teruskan Siasatan Awam Terhadap Kehilangan Pastor Koh" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 13 Ogos 2017)
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Suhakam Teruskan Siasatan Awam Terhadap Kehilangan Pastor Koh" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 13 Ogos 2017)