Selasa, 26 Disember 2017

Kepentingan Penganut Kristian Dalam Politik Malaysia

Oleh Zin Mahmud:
Seperti Islam, Kristian juga dianuti masyarakat Bumiputera, di samping Cina dan India.
Walaupun Krismas adalah cuti umum untuk seluruh Malaysia tetapi sambutan lebih meriah berlaku di Sarawak dan Sabah.
Kehadiran Bumiputera Sarawak dan Bumiputera Sabah yang menganut Kristian menjadikan agama itu penting bagi Malaysia. Kalau agama Buddha dan Hindu dianut secara umum oleh kaum bukan Bumiputera, tetapi kedudukan Kristian adalah berbeza.
Penganut Kristian di kalangan Bumiputera Sarawak dan Sabah menjadikan Bumiputera Malaysia mempunyai 2 agama utama, iaitu Islam dan Kristian.
Islam adalah agama rasmi Malaysia dengan penganutnya merupakan penduduk majoriti negara ini. Walaupun terdapat umat Islam di kalangan bukan Bumiputera seperti Cina dan India, tetapi penganut utama Islam adalah orang Melayu, sama ada di Semenanjung Malaysia, Sarawak mahupun Sabah.
Di Sarawak dan Sabah, terdapat juga Bumiputera bukan Melayu mereka yang beragama Islam. Tetapi bilangan Bumiputera Sarawak dan Sabah beragama Kristian adalah besar dan berpengaruh.
Satu lagi ciri kedudukan Kristian di Malaysia ialah mereka mempunyai penganut yang juga besar di kalangan orang Cina dan India. Selain itu komuniti Serani yang terdiri daripada orang keturunan Portugis dan Belanda adalah juga penganut agama Kristian.
Kehadiran agama Kristian di rantau Asia Tenggara bermula dengan kemasukan penjajah Portugis dan Sepanyol pada abad ke-16. Filipina menjadi negara Kristian dengan wilayah Indonesia Timur khususnya sekitar pulau Maluku dan Nusa Tenggara menjadikan Kristian agama penting bagi negara itu.
Sarawak yang pernah mempunyai raja keturunan British dan beragama Kristian, iaitu Raja Brooke, membentuk identiti Kristian di kalangan kaum Bumiputeranya.
Sabah yang pernah ditadbir syarikat British juga membolehkan penyebaran agama Kristian di negeri itu.
Kehadiran Kristian di Asia Tenggara menjadikan rantau ini berbilang agama, Hindu, Buddha, Islam dan Kristian, di samping animisme serta kepercayaan tradisi di kalangan peribumi.
Pengaruh Tao-Konfusius juga hadir bukan saja dari kalangan keturunan Cina tetapi juga bangsa Vietnam. Selain itu, fahaman agnostis dan atheis juga wujud bukan saja di negara komunis Vietnam dan Laos tetapi juga di kawasan urban seperti Singapura, Jakarta, Manila, Kuala Lumpur dan Bangkok.
Namun di seluruh Asia Tenggara, penganut Islam adalah terbesar dengan tumpuannya di Indonesia, Malaysia, Brunei, Filipina Selatan, Thailand Selatan dan Myanmar Barat.
Di Semenanjung Malaysia, British berkuasa di Negeri-Negeri Selat iaitu Melaka dan Pulau Pinang, selain Singapura. Kristian tersebar di kalangan kaum Cina dan India di Semenanjung Malaysia. Sejak adanya pentadbiran British, Krismas diisytiharkan sebagai cuti umum, lama sebelum Malaya mencapai kemerdekaan. Walaupun penganut Kristian tidak ramai tetapi pihak pentadbir British tentulah mahu menyambut Krismas.
Apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1948 dan kemudian memperoleh kemerdekaan, akan ditetapkan bahawa agama persekutuan adalah Islam dengan agama-agama lain diberi jaminan bebas untuk diamalkan. Ini bermakna hari besar semua agama diberi cuti umum.
Maknanya, bukan saja Hari Raya Aidilfitri menjadi cuti umum tetapi juga Hari Wesak, Deepavali dan Krismas. Krismas tidaklah disambut secara meriah kerana bilangan orang Kristian adalah kecil.
Dari segi pertimbangan politik, ia berkisar pada kaum dan bukan agama. Perikatan yang memerintah terdiri daripada Umno, MCA dan MIC yang mewakili kaum Melayu, Cina dan India.
Dari sudut agama, Umno mewakili Islam, MCA mewakili Buddha dan MIC mewakili Hindu. Jadi orang Kristian hanya mengharapkan MCA juga mewakili mereka kerana terdapat kalangan pemimpin mereka beragama Kristian.
Tetapi MCA dan MIC dilihat perlu bekerjasama dalam memlihara kepentingan bukan Islam ketika berdepan dengan Umno.
Kedudukan Kristian berubah apabila Malaysia ditubuhkan. Penyertaan Sarawak dan Sabah ke dalam Malaysia meletakkan Bumiputera yang beragama Kristian dalam kedudukan penting.
Dari 1963 hingga 1974, Perikatan Sarawak dan Perikatan Sabah mempunyai komponen parti Bumiputera yang penting. Di Sarawak, Bumiputera diwakili oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).
Di Sabah, ia diwakili oleh Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazan Bersatu (UPKO). Banyak Bumiputera Kristian mendokong SNAP dan Upko.
Apabila Barisan Nasional ditubuhkan pada 1974, PBB, SNAP, Usno yang digabungkan dengan Upko menjadi komponen penting. Tetapi di kalangan pemimpin MCA, Gerakan dan SUPP terdapat penganut Kristian. Mereka perlu berdepan dengan Umno dan PAS yang merupakan tonggak BN ketika itu.
Di sebelah pembangkang, peranan mempertahankan kepentingan bukan Islam dimainkan DAP.
Berbanding Sarawak, politik Sabah banyak mengalami pergolakan yang memperlihatkan suara Bumiputera Kristian di negeri itu. Daripada penubuhan Parti Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) hinggalah kepada pembubaran Usno yang membawa kepada penubuhan Umno Sabah. Buat pertama kalinya Umno membuka keahlian kepada Bumiputera Kristian.
Kini dalam BN, parti Bumiputera Sarawak dan Sabah yang didominasi penganut Kristian ialah Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Sarawak (PRS), PBS, Upko dan PBRS.
Kepentingan parti-parti ini menjadi besar bagi BN apabila dalam pilihan raya tahun 2008, ia kehilangan majoriti 2/3.
Sekali lagi keadaan ini berlaku pada pilihan raya tahun 2013. BN perlu bergantung pada kerusi di Sarawak dan Sabah.
Sementara itu, generasi baharu Sarawak dan Sabah juga berbeza daripada yang lama. Mereka lebih berpendidikan dan terdedah kepada perkembangan luar. Laluan pergi-balik Semenanjung ke Sarawak dan Sabah juga semakin meningkat.
Dalam keadaan ini rakyat Sarawak mula sedar banyak perkara. Mereka memberi tekanan kepada kerajaan negeri supaya menuntut hak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 tetapi mereka fikir sudah kehilangan setelah mengalami pelbagai perkembangan politik. Isu ini timbul dalam pilihan raya negeri yang boleh menggugat BN Sarawak.
Maka tidak hairanlah 2 hari sebelum Krismas, Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak ketika berada di Kuching menghadiri persidangan perwakilan SUPP menyatakan bahawa Putrajaya tidak mempunyai masalah untuk memenuhi tuntutan Sarawak. Iaitu mengenai terhadap hak perlembagaan mereka sama ada secara sedar atau tidak telah terlepas selama ini.
Beliau bagaimanapun meletak 2 syarat untuk memenuhi tuntutan itu. Pertama, Sarawak mesti tidak bercakap hendak keluar daripada Malaysia. Kedua, Sarawak mesti memberikan kemenangan kepada BN pada pilihan raya umum ke-14 ini. Beliau mengharapkan kesemua 31 kerusi Parlimen di Sarawak akan kembali ke BN.
Di Sarawak, pihak pembangkang sukar untuk menang. Hanya kaum Cina yang pernah memberi banyak undi pada DAP dalam pilihan raya negeri hingga SUPP terduduk.
Tetapi PKR yang seharusnya mewakili pembangkang Bumiputera Sarawak tidak mendapat tempat. Bumiputera negeri itu masih kuat menyokong BN.
Namun begitu, keadaan boleh berubah bagi generasi akan datang. Masa depan Malaysia akan turut dicorakkan oleh Bumiputera Sarawak dan Sabah.
Maka Malaysia bukan hanya bererti Semenanjung Malaysia, orang Melayu dan Islam. Seperti mana negara-negara moden lain di dunia, Malaysia adalah negara pelbagai kaum, agama dan fahaman, bukan hanya dalam bentuk tersurat, tetapi juga tersirat.

* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Kepentingan Penganut Kristian Dalam Politik Malaysia" yang ditulis oleh Zin Mahmud bertarikh 26 Disember 2017)