Rabu, 25 Julai 2018

"Selamanya, Kami Kenang Jasa Cikgu Catherine"

Catherine Janet yang terkorban dalam kebakaran di SK Batu Bungan, Mulu

MIRI: "Jasa Catherine akan kami kenang sampai bila-bila, tenanglah Catherine di sana," kata Afifah Azhari, saudara kepada penghuni yang terbabit dalam tragedi kebakaran kuarters Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan, di Mulu, di sini, awal pagi tadi.

Tragedi itu mengorbankan seorang guru, Catherine Janet Tiwi, 25, yang terperangkap ketika cuba menyelamatkan rakan serumahnya.

Kakak kepada Syuhadah Azhari, 27, yang turut melecur 20 peratus di bahagian muka dan badan itu tersentuh apabila dimaklumkan mendiang terperangkap ketika cuba menyelamatkan adiknya itu.

"Mendiang pada awalnya sudah selamat keluar tetapi masuk semula untuk menyelamatkan adik, mengakibatkan dia yang terkorban," katanya melalui catatan di laman Facebook (FB) miliknya.

Katanya, Catherine adalah rakan serumah adiknya yang amat baik.

"Adik selalu sering bercerita kebaikan mendiang Catherine kepada saya.

"Jasa Catherine akan kami kenang sampai bila-bila, tenanglah Catherine di sana," katanya.

Afifah, kakak kepada Syuhadah Azhari
(Foto: Mohd Rizal Abdullah)

Afifah berkata, adiknya sudah dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan, bagaimanapun, adiknya itu masih lemah dan trauma.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Nor Hisham Mohamad, dalam catatan di laman FB, turut memberi kata-kata semangat buat bapa mangsa, Tiwi Nios, 53, yang juga seorang anggota bomba.

"Berita pagi ini pastinya tidak diundang sebagai seorang bapa, jauh sekali untuk dirai, apatah lagi jiwa dan hidup kita sebagai anggota bomba.

"Namun kita terpaksa reda bahawa setiap apa yang berlaku adalah ketentuanNya. Tidak dapat saya bayangkan akan rasa kehilangan yang diharungi saudara dan keluarga," katanya.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, dua kuarters sekolah berkenaan yang dihuni lapan individu termasuk mendiang, musnah sepenuhnya, menyebabkan dua melecur manakala yang lain dapat menyelamatkan diri.

Mendiang ditemui rentung ketika operasi pemadaman dilakukan pihak bomba pada jam 6.34 pagi tadi.



(Diambil daripada artikel Berita Harian bertajuk, "Tak Lupa Pengorbanan Cikgu Catherine" yang ditulis oleh Mohd Rizal Abdullah bertarikh 25 Julai 2018)