Pagi tadi saya terbaca berita Gulf News mengenai sebuah kapal terbang yang terpaksa berpatah balik kerana seorang penumpangnya telah tertinggal bayinya di lapangan terbang. Penerbangan Arab Saudi SV832 itu telah berlepas dari Jeddah untuk ke Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu ketika juruterbang dimaklumkan keadaan itu. Juruterbang itu kemudiannya telah mendaratkan kembali kapal terbang di Jeddah untuk mempersatukan ibu dengan bayinya.
Semasa membaca berita itu, saya teringat ayat Alkitab ini:
Dapatkah seorang perempuan melupakan bayinya, sehingga ia tidak menyayangi anak dari kandungannya? Sekalipun dia melupakannya, Aku tidak akan melupakan engkau. Lihat, Aku telah melukiskan engkau di telapak tangan-Ku; tembok-tembokmu tetap di ruang mata-Ku. (Yesaya 49:15-16)
Ketika Tuhan berfirman. "Dapatkah seorang perempuan melupakan bayinya?" itu merupakan suatu soalan retorika, iaitu soalan yang ditanya bukan untuk mendapatkan jawaban, tetapi untuk menyatakan sesuatu kebenaran secara dramatik. Ertinya sangat jelas iaitu bahawa seorang ibu tidak akan melupakan bayinya!
Namun itu yang terjadi dalam berita pelik di atas. Seorang ibu terlupa bayinya di lapangan terbang. Walaupun pada waktu ini, kita kurang jelas apa yang terjadi atau bagaimanakah ibu itu boleh terlupakan anaknya, kita semua hairan dengan kejadian itu. Seperti yang Tuhan telah nyatakan itu adalah naluri seorang ibu yang tidak akan terlupa akan anaknya.
Ibu dan anak (foto hiasan) |
Dalam ayat Alkitab di atas, Tuhan telah menggambarkan kasihnya dengan menggunakan contoh kasih ibu yang begitu besar untuk anaknya. Kita semua tahu betapa besar kasih ibu untuk anaknya, tiada kasih yang seperti itu dalam perhubungan manusia. Tuhan berkata seperti itulah kasih Tuhan untuk kita, umpama kasih seorang ibu, malahan melebihi kasih seorang ibu. Hampir mustahil seorang ibu terlupa akan anaknya, tetapi sekalipun itu terjadi, Tuhan tetap tidak akan terlupakan kita!
Jangan pernah berputus harapan, saudara-saudaraku! Tuhan tidak pernah melupakan kita. Dia telah melukiskan kita di telapak tangan-Nya!