Khamis, 28 Mac 2019

5 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Bahasa Roh


Oleh Brian Alarid:

Tanpa ragu-ragu lagi, bahasa roh adalah kurnia rohani yang paling kontroversi dalam Perjanjian Baru. Adakah ianya daripada Tuhan atau daripada Iblis? Haruskah orang-orang beriman mengabaikannya, menentangnya atau menyambutnya? Ada banyak soalan yang berasas mengenai bahasa roh yang memerlukan respons yang berhikmah dan alkitabiah. Mari kita meneliti lima daripadanya:

1, Adakah bahasa roh datang daripada Tuhan atau Iblis?

Perkara paling penting yang anda perlu tahu mengenai bahasa roh adalah apa yang Yesus katakan mengenainya, dan Dia telah mengatakannya dengan jelas dalam Markus 16:17, "Tanda-tanda ini akan menyertai orang-orang yang percaya: mereka akan mengusir setan-setan demi nama-Ku, mereka akan berbicara dalam bahasa-bahasa yang baru bagi mereka," Yesus menyatakan bahawa bahasa roh adalah tanda ajaib yang dapat dan harus menyertai sesiapa pun yang percaya kepada-Nya. Tuhan tidak memberikan anak-anak-Nya pemberian yang tidak baik, jadi kita tidak harus takut pada atau mempersendakan kurnia bahasa roh.

2. Adakah orang mengada-adakannya ketika mereka berbahasa roh?

Bahasa roh adalah bahasa yang diketahui atau bahasa syurgawi yang tidak diketahui kepada penuturnya yang membolehkan penutur itu untuk berkomunikasi secara langsung dengan Tuhan. Paulus mengatakan dalam 1 Kor 13:1, "Sekalipun aku dapat berkata-kata dengan semua bahasa manusia dan bahasa malaikat..." Apabila anda menerima kurnia bahasa roh, dalam sekelip mata, Roh Kudus meletakkan sesuatu bahasa dalam rohmu tanpa anda perlu mempelajarinya.

Pada 2006, para pengkaji di Universti Pennsylvania telah mengambil imbasan otak lima orang ketika mereka berbahasa roh. Kajian mereka telah diterbitkan dalam The New York Times. Ketua pasukan kajian itu adalah Dr. Andrew Newberg, yang telah mencapai kesimpulan ini:

"Kami telah memperhatikan beberapa perubahan yang terjadi secara fungsi dalam otak. Penemuan kami mengenai pengurangan aktiviti di lobus depan otak ketika amalan berbahasa roh adalah amat menarik kerana orang-orang dalam kajian itu benar-benar percaya bahawa roh Allah sedang bergerak melalui mereka dan menguasai mereka untuk berkata-kata... Kajian imbasan otak yang kami jalankan menunjukkan bahawa mereka tidak menguasai pusat-pusat bahasa yang biasa di otak semasa aktiviti ini, yang mana adalah konsisten dengan apa yang mereka nyatakan sebagai kurangnya pengawalan secara sengaja sewaktu berbahasa roh."


Ketika mereka berbahasa roh, lobus depan mereka, bahagian otak yang kita gunakan untuk berfikir dan mengawal apa yang kita lakukan, adalah senyap. Pusat bahasa dalam otak mereka - bahagian yang kita gunakan untuk berkata-kata dalam bahasa asal kita - juga adalah senyap. Mereka bukan dalam keadaan khayal; mereka sedar sepenuhnya apa yang sedang berlaku. Para pengkaji tidak dapat menentukan bahagian mana otak yang mengawal tindakan berkata-kata dalam bahasa roh ini. Dr. Newberg seterusnya mengatakan, "Yang mengkagumkan adalah bagaimana imbasan-imbasan itu menyokong tafsiran orang mengenai apa yang sedang berlaku. ... Cara mereka menjelaskannya, dan apa yang mereka percaya, adalah Tuhan sedang berbicara melalui mereka."

Berbahasa roh jelas sekali bukanlah bahasa yang dibuat-buat atau diada-adakan, seperti yang disahkan oleh pakar-pakar sains ini. Ianya adalah bahasa rohani yang diberikan kepada kita oleh Tuhan untuk berkomunikasi dengan-Nya.

3. Adakah berbahasa roh suatu kurnia sampingan yang hanya diberikan kepada beberapa orang sahaja?

Kurnia bahasa roh adalah kurnia yang paling biasa diterima dalam gereja Perjanjian Baru. Alkitab memberitahu kita dalam KPR 2:4 bahawa kesemua 120 murid asal pada hari Pentakosta telah berbahasa roh di Ruangan Atas: "Maka penuhlah mereka dengan Roh Kudus, lalu mereka mulai berkata-kata dalam bahasa-bahasa lain, seperti yang diberikan oleh Roh itu kepada mereka untuk mengatakannya." Kita tidak tahu samada mereka semua menerima kurnia iman atau penyembuhan atau kurnia membezakan roh, tetapi kita tahu secara fakta bahawa mereka semua telah menerima kurnia bahasa roh.

Pada hari ini, terdapat lebih daripada 600 juta orang-orang Kristian Karismatik-Pentakosta di sekeliling dunia, kumpulan kedua paling besar Kristian selepas Katolik. Gereja-gereja Pentakosta dan Karismatik bukanlah pergerakan kecil dan sampingan; sebaliknya mereka adalah gerakan agama yang paling cepat bertumbuh di dunia. Kurnia bahasa roh tidaklah dihadkan kepada beberapa orang yang terpilih sahaja. Paulus menyatakan dengan jelas dalam 1 Kor 14:5 bahawa dia ingin setiap orang percaya untuk berdoa dalam bahasa roh (untuk membangun diri) dan bernubuat (untuk membangun gereja): "Aku suka, supaya kamu semua berkata-kata dengan bahasa roh, tetapi lebih dari pada itu, supaya kamu bernubuat."

4. Adakah berbahasa roh sudah dihentikan selepas abad pertama, atau adakah ianya masih aktif hari ini?

Doktrin pemberhentian kurnia-kurnia roh telah tertanam kukuh dalam aliran Reformed Christianity (Calvinis). Ini adalah kepercayaan bahawa kurnia-kurnia apostolik dan karismatik (termasuk berbahasa roh) telah berhenti selepas dua belas rasul yang asal meninggal dunia. Namun begitu, beberapa bapa gereja awal yang penting seperti Justin Martyr (100-165), Irenaeus (115-202), Tertullian (160-220), dan Origen (185-254) - telah merekodkan bahawa kurnia-kurnia rohani, termasuk berbahasa roh, masih lagi aktif digunakan di gereja pada zaman mereka, lama selepas rasul Yohanes meninggal dunia sekitar 100 Tahun Masihi.

Petrus telah mengisytiharkan dalam KPR 2:39 bahawa kurnia bahasa roh adalah untuk semua orang yang dipanggil oleh Tuhan: "Sebab bagi kamulah janji itu dan bagi anak-anakmu dan bagi orang yang masih jauh, yaitu sebanyak yang akan dipanggil oleh Tuhan Allah kita." Paulus menulis dalam 1 Kor 13:8-9 bahawa apabila yang sempurna itu datang, bahasa roh akan berhenti. Itu adalah rujukan kepada Kedatangan Yesus yang Kedua Kali. Alkitab mengajarkan tiada seorang pun yang sempurna kecuali Yesus. Apabila Kristus kembali, kita tidak lagi perlu berbahasa roh untuk berkomunikasi dengan Tuhan sebab kita akan bersama dengan-Nya. Tetapi sehingga waktu itu, kurnia bahasa roh tersedia untuk semua orang percaya yang menginginkannya.

5. Apakah yang orang ucapkan ketika mereka berdoa dalam bahasa roh?

Alkitab menyatakan lima perkara utama yang terjadi apabila orang-orang percaya berdoa dalam bahasa roh:

1. Mereka berbicara terus dengan Tuhan. 1 Korintus 14:2, "Siapa yang berkata-kata dengan bahasa roh, tidak berkata-kata kepada manusia, tetapi kepada Allah. Sebab tidak ada seorangpun yang mengerti bahasanya; oleh Roh ia mengucapkan hal-hal yang rahasia." Bahasa roh adalah talian komunikasi terus yang intim dengan Tuhan.

2. Mereka mengisytiharkan kebesaran Tuhan. Kisah Para Rasul 2:11, "Kita mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa kita sendiri tentang perbuatan-perbuatan besar yang dilakukan Allah." Jauh sekali dari mengatakan hal yang bukan-bukan, apabila kita berbahasa roh, kita sebenarnya mengisytiharkan keajaiban dan kebesaran Tuhan. Bagaimanakah itu merupakan hal yang buruk?

3. Mereka memuji Tuhan. Kisah Para Rasul 10:46, "Sebab mereka mendengar orang-orang itu berkata-kata dalam bahasa roh dan memuliakan Allah." Walaupun kita tidak memahami apa yang kita katakan ketika berbahasa roh, kita sedang memuji Tuhan dalam Roh (1 Kor 14:16).

4. Mereka sedang membina diri mereka. 1 Korintus 14:4, "Siapa yang berkata-kata dengan bahasa roh, ia membangun dirinya sendiri, tetapi siapa yang bernubuat, ia membangun Jemaat." Berbahasa roh adalah seperti latihan rohani - ianya membina anda dan membuat anda lebih kuat secara rohani.

5. Roh Kudus sedang berdoa melalui mereka, menyatakan kehendak Allah. Roma 8:26-27, "Demikian juga Roh membantu kita dalam kelemahan kita; sebab kita tidak tahu, bagaimana sebenarnya harus berdoa; tetapi Roh sendiri berdoa untuk kita kepada Allah dengan keluhan-keluhan yang tidak terucapkan. Dan Allah yang menyelidiki hati nurani, mengetahui maksud Roh itu, yaitu bahwa Ia, sesuai dengan kehendak Allah, berdoa untuk orang-orang kudus." Berdoa dalam Roh akan membawa pewahyuan dan pengertian akan kehendak Tuhan dalam hidup anda.

Jika anda tidak percaya pada kurnia bahasa roh, atau punya pengalaman buruk dengan gerakan karismatik, saya mendorong anda untuk mengkaji Alkitab dengan fikiran yang terbuka. Mohon Roh Kudus untuk menyatakan kebenaran mengenai bahasa roh kepada anda.

Jika anda menginginkan kurnia bahasa roh, berdoalah untuknya secara iman sehinggalah anda menerimanya. Yesus berkata dalam Lukas 11:13, "Jadi jika kamu yang jahat tahu memberi pemberian yang baik kepada anak-anakmu, apalagi Bapamu yang di sorga! Ia akan memberikan Roh Kudus kepada mereka yang meminta kepada-Nya." Kadangkala kita perlu terus meminta, mencari dan mengetuk sehingga kita menerima jawapan kepada doa.

Jika anda sudah memiliki kurnia bahasa roh, gunakanlah setiap hari. Dalam 1 Kor 14:18, Paulus menyatakan betapa seringnya dia berdoa dalam bahasa roh, "Aku mengucap syukur kepada Allah, bahwa aku berkata-kata dengan bahasa roh lebih dari pada kamu semua." Bahasa roh adalah bahasa yang nyata, dan seperti bahasa-bahasa lain, anda perlu menggunakannya untuk menambahkan kefasihan dan perbendaharaan katanya.

Adakah berlaku keterlampauan dan salahguna dalam penggunaan kurnia bahasa roh? Ya, tentu saja, dan itu perlu diperbetulkan, tetapi janganlah membakar kelambu kerana marahkan nyamuk dengan menolak sama sekali kurnia berbahasa roh. Marilah kita menyimpan di hati kata-kata Paulus dalam 1 Kor 14:39: "Kerana itu, saudara-saudaraku, usahakanlah dirimu untuk memperoleh karunia untuk bernubuat dan janganlah melarang orang yang berkata-kata dengan bahasa roh."

Brian Alarid adalah pastor utama Passion Church di Albuquerque, New Mexico dan adalah penyelia kawasan untuk Billy Graham Evangelistic Association/My Hope.

(Diterjemahkan daripada artikel Charisma Magazine bertajuk, "5 Things You Need To Know About Speaking In Tongues" yang ditulis oleh Brian Alarid bertarikh 9 September 2014)