Di hari terahkhir inkuiri Suhakam berkenaan kehilangan Amri
Che Mat dan Raymond Koh hari ini, peguam yang mewakili keluarga mereka bertegas
bahawa polis terlibat dalam kedua-dua kes itu.
Mewakili keluarga Koh, Jerald Gomez membangkitkan beberapa
kejanggalan dalam kenyataan polis berkenaan penculikan Koh pada 13 Feb 2017.
Ia termasuk satu peristiwa tembakan di Kedah pada Jun 2017,
yang menurut ketua polis negara pada waktu itu Khalid Abu Bakar berkaitan
dengan penculikan paderi itu.
Kenyataan awal oleh polis Kedah berhubung perkara itu
menyatakan suspek yang disyaki penyeludup dadah dan senjata telah dibunuh dan
tidak menyebut tentang Koh.
Gomez berkata "pertentangan" itu menimbulkan
keraguan berkenaan kaitan dua perkara itu, dan mempersoalkan sama ad ia
digunakan untuk mengalih perhatian terhadap polis.
Peguam itu juga menyatakan satu lagi perkara yang didakwa
sebagai "pengalihan perhatian" itu - pendakwaan Lam Chang Nam atas
penculikan Koh sebaik inkuiri mula berjalan, menyebabkan ia digantung buat
sementara.
Lam sebelum ini disyaki mengugut wang daripada keluarga Koh.
"Lam adalah satu lagi red herring (untuk
alihkan perhatian), kerana Khalid...telah membebaskannya daripada sebarang
kaitan daripada penculikan.
"Semua ini memberi kesimpulan bahawa mereka (polis)
tidak mahu semua bukti dibangkitkan dalam inkuiri ini.
"Kami berpandangan satu-satunya sebab mereka tidak mahu
kebenaran diketahui adalah kerana mereka sendiri terlibat," kata Gomez.
Menjawab Gomez, Ketua Penolong Pengarah Pendakwaan dan
Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Azman Ahmad Sapri
menegaskan bukti mengaitkan insiden tembakan di Kedah dengan penculikan Koh
memang telah ditemui.
Azman bagaimanapun tidak mengulas tentang pendakwaan Lam.
'Amri dipantau sebelum diculik'
Dalam kes Amri, peguam keluarga David Morais mendakwa penglibatan
polis dapat dilihat selepas mengambil kira rentetan peristiwa.
"Amri diculik pada 24 Nov 2016.
"Pantauan di luar rumahnya berjalan selama tiga hari
sebelum dia hilang - pada 21, 22 dan 23 Nov," katanya.
Morais membangkitkan bagaimana bekas Ketua Penolong Pengarah
Bahagian Ancaman, Ekstremis Sosial Bukit Aman Awaludin Jadid sebelum ini ketika
inkuiri memberitahu bahawa polis memantau Amri sebelum kehilangannya, kerana
merasakan NGO Amri - Perlis Hope - terlibat dalam kegiatan penyebaran Syiah.
Awaludin bertemu dengan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin
sebulan sebelum kehilangan Amri.
Morais berkata lagi, pada 6 Nov polis telah memberi amaran
tentang ancaman oleh pengikut mazhab Syiah.
Beliau juga bersetuju dengan keterangan isteri Amri,
Norhayati Mohd Ariffin, yang mengatakan dia diberitahu oleh seorang pegawai
Cawangan Khas (SB) Mohd Shamzaini Mohd Daud bahawa polis terlibat dalam
kehilangan suaminya dan juga Koh.
Sebagai respons, Ketua Jabatan Perundangan Bukit Aman
Mokhtar Mohd Nor menegaskan Shamzaini telah menafikan ada berkata demikian dan
membuat laporan polis terhadap Norhayati.
Shamzaini juga membuat penafian sama ketika dipanggil
inkuiri untuk memberi keterangan.
Mokhtar juga berkata beberapa soalan Morais melangkaui apa
yang disediakan pasukan perundangan dan bersetuju untuk menghantar jawapan
bertulis sebelum 11 Mac ini.
Dapatan 3 April ini
Hari ini merupakan peluang terakhir untuk semua pihak,
termasuk Suhakam dan pemerhati daripada Majlis Peguam, untuk memberi
keterangan.
Panel inkuiri adalah Mah Weng Kwai, Aishah Bidin and Nik
Salida Suhaila Nik Saleh. Mereka akan membentangkan dapatan mereka pada 3 April
ini.
Turut hadir hari ini adalah keluarga Amri dan Koh.
Bercakap dengan pemberita kemudian, isteri Koh, Susanna Liew
mengucapkan penghargaan kepada Suhakam dan peguamnya kerana membantunya dalam
kes itu.
"Saya kini ada asas kukuh untuk mengatatakan kes ini
adalah kehilangan paksa," katanya yang berharap satu pasukan kerja yang
saksama akan ditubuhkan untuk kes ini.
Menurut International Convention for Protection of all
Persons from Enforced Disappearances (ICPPED), kehilangan secara paksa
ditakrifkan sebagai penangkapan, penahanan, penculikan atau bentuk-bentuk lain
perampasan kebebasan oleh ejen-ejen kerajaan atau oleh orang perseorangan, atau
kumpulan-kumpulan orang perseorangan, bertindak dengan kelulusan, sokongan atau
persetujuan kerajaan.
Sementara itu, Norhayati berpegang kepada apa yang dikatakan
oleh peguamnya berkenaan apa yang telah berlaku, dan berharap dapatan daripada
Suhakam akan membantu menyelesaikan kes kehilangan suaminya.
"Sudah lebih dua tahun, tetapi polis belum bertemu kami
untuk memberi maklumat tentang kes ini," katanya lagi.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Peguam Tetap Kata Polis Terlibat Kehilangan Amri, Koh" yang ditulis oleh Annabelle Lee bertarikh 7 Mac 2019)