Sabtu, 8 Februari 2020

Orang-Orang Kristian Di China Mohon Doa Kerana Penularan Pantas Koronavirus, "Kami Percaya Pada Tuhan"


Oleh kerana penularan wabak berbahaya Koronavirus baru-baru ini, terdapat ramai warga China yang merasa cemas dan berjaga-jaga agar tidak dijangkiti, orang-orang Kristian sedang memohon doa bagi negara mereka.

Menurut pertubuhan BarnabasFund, seorang Kristian yang tidak memberi namanya telah menghantar surat kepada pertubuhan itu untuk menyatakan kebimbangan besarnya akan keseriusan penyakit itu di negaranya yang telah membawa kematian lebih 100 orang.

"Berkenaan keadaan di China, ini benar-benar serius. Orang ramai ketakutan. Lebih kurang 11 juta orang di kota-kota sedang dikuarantin. Banyak video yang disebarkan di internet, menunjukkan orang rebah di jalanan, rak-rak kedai yang kosong, hospital-hospital yang penuh dengan orang-orang yang cemas dan menjerit, tubuh-tubuh yang tertutup di koridor-koridor hospital," dia menulis dalam suratnya.

"Ini serius" 

Orang ini, yang tinggal berdekatan kota Wuhan, berkata bahawa para doktor menangis apabila mereka melihat terdapat lebih ramai orang yang terjangkit berbanding dengan apa yang dikatakan. Ramai orang yang mati yang tidak dapat ditolong kerana kekurangan ubat. 

"Terdapat juga maklumat mengenai kekurangan anggota-anggota perubatan dan ubat-ubatan," dia menjelaskan. 

Dia mengisahkan bagaimana penduduk-penduduk takut untuk keluar dan mereka terkunci dalam rumah, dengan mengikuti syor-syor yang telah diberikan kepada mereka, sebilangannya yang lain bergantung pada topeng-topeng untuk keluar, yang mana juga sukar diperolehi. 

"Ketika menulis surat ini, saya menerima mesej daripada polis bahawa beberapa jenis pengangkutan sudah tidak dibenarkan di kota kami. Dan jika sesiapa merasa tidak sihat atau ingin meninggalkan kota ini, mereka perlu berhubung dengan suatu nombor talian khas," dia menjelaskan.

"Saya takut, tapi kami percaya pada Tuhan" 

Orang itu juga berkata bahawa walaupun dia takut mengenai kesihatan keluarganya dan penyakit yang cepat tersebar itu, imannya kepada Tuhan tidak pudar sebab mereka berpaut kepada doa untuk terus hidup.

"Virus itu semakin hari semakin dekat kami. Saya takut berkenaan keluarga saya, tapi kami percaya kepada Tuhan. Malangnya, kota Wuhan tidak jauh dari kami, ianya kira-kira 600 km jauhnya. Tiada apa-apa yang dapat kami lakukan mengenainya. kami hanya dapat berdoa, menguatkan daya tahan tubuh dan mengekalkan kebersihan," begitu ditulisnya.

Begitu juga, katanya semua orang Kristian di China bersatu dalam doa, agar Tuhan menguasai keadaan dan menghantar berkat kepada mereka yang menaburkan tangisan bagi pihak mereka. 

"Orang-orang percaya di seluruh China bersatu dalam doa dan kami juga menjemput anda untuk berdoa. Terima kasih atas sokongan anda yang penuh kasih untuk kami. Terima kasih kepada Tuhan untuk segalanya! Tuhan melimpahkan berkat atas anda semua!"

Kami tahu bahawa bagi Tuhan tiada yang mustahil dan bahawa Yesus telah mengatasi segala penyakit di kayu salib. Marilah kita bersatu dalam doa dengan saudara-saudara kita dari China dan untuk mereka semua yang telah dijangkiti virus agar Tuhan menyembuhkan mereka, di dalam nama Yesus, Amen!

(Diterjemahkan daripada artikel Bibliatodo bertajuk, "Christians In China Ask For Prayer Due To Rapid Spread of Coronavirus, 'We Trust In God'" bertarikh 30 Januari 2020)