Sabtu, 28 Mac 2020

Bagaimana Seorang Doktor Ateis Di Itali Menemukan Tuhan Ketika Bertugas Menentang Covid-19


Seorang doktor ateis, Dr Julian Urban, dari Itali menyedari dia perlu memohon pertolongan Tuhan di tengah-tengah pandemik Covic-19 yang melanda negara mereka ketika sedang bertugas.

Dalam satu hantaran Facebook oleh Jim McCarthy, dia berkongsi satu kesaksian yang  mengharukan daripada seorang doktor yang dihantarkan oleh kawannya dari Itali. 

Kesaksian daripada Seorang Doktor Ateis Dari Itali

Doktor perubatan berusia 38 tahun itu sedang bertugas di sebuah hospital di Lombardy, Itali. Dr Julian mengisahkan kembali apa yang mereka alami di hospital ketika bertarung menentang Covid-19. 

Dia menyatakan, "Tak pernah dalam mimpi terburukku, aku dapat membayangkan apa yang akan kulihat dan alami di hospital kami di Itali selama tiga minggu yang lepas. Mimpi buruk itu terus mengalir seperti sungai yang terus melebar dan melebar." 

Kemudian doktor itu menceritakan bagaimana dari beberapa pesakit dengan tiba-tiba bertambah menjadi beratus-ratus. 

Dan dia berkata, "Kini, kami bukan lagi doktor, tetapi adalah pengatur yang membuat keputusan siapa yang harus hidup dan siapa yang harus dihantar pulang untuk mati, walaupun semua pesakit ini telah membayar cukai perubatan Itali sepanjang hidup mereka," 

Namun begitu, di tengah-tengah keadaan yang paling tidak disangka di hospital itu, sebilangan doktor telah menemukan Tuhan.

Bertemu Dengan Seorang Pastor Tua

Dr Julian menceritakan, "Sehingga dua minggu lepas, saya dan rakan-rakan saya adalah ateis. Itu adalah perkara biasa sebab kami adalah doktor. Kami belajar bahawa sains meniadakan kewujudan Tuhan." 

Dia bersaksi bagaimana dia telah mengolok-olokkan ibu bapanya kerana pergi ke gereja di waktu lampau. Dan bagaimana segalanya telah berubah setelah bertemu dengan seorang pastor yang telah dimasukkan ke dalam hospital.

"Sembilan hari yang lalu, seorang pastor berusia 75 tahun telah dimasukkan ke hospital. Dia seorang yang baik hati. Dia mengalami masalah pernafasan yang serius," Dr Julian mengingat kembali.

"Dia memiliki sebuah Alkitab bersamanya dan mengkagumkan kami dengan caranya membacanya sambil berpegang tangan dengan orang-orang yang di ambang maut. Kami. doktor-doktor, semuanya penat dan lemah semangat, secara fizikal dan psikologi sudah tak berdaya lagi. Apabila kami mempunyai waktu, kami mendengarkannya. Kami sudah sampai ke tahap penghabisan kami. Kami tak dapat buat apa-apa lagi. Orang ramai mati setiap hari. Kami kelesuan. Dua orang rakan kami telah mati dan yang lainnya telah terjangkit."

Kemudian dia dan rakan-rakannya mulai menyedari, "Kami perlu mula meminta pertolongan Tuhan."

Doktor-Doktor Ateis Berpaling Kepada Tuhan

Dia bersaksi, "Apabila kami berbual-bual satu dengan lain, kami tidak dapat percaya, walaupun kami dulunya adalah ateis yang kuat, kini kami setiap hari mencari kedamaian, memohon Tuhan menolong kami dapat meneruskan supaya kami dapat menjaga orang-orang sakit."

Dr Julian, kemudiannya memaklumkan bahawa pastor berusia 75 tahun itu telah meninggal dunia.

Dia berkata, "Walaupun dengan lebih 120 kematian di sini selama 3 minggu. kami belum lagi rasa hancur. Dia (pastor itu) telah dapat, walaupun dalam keadaannya dan dalam kesukaran kami, membawakan kepada kami suatu KEDAMAIAN yang kami tidak pernah harap dapat ketemukan. Pastor itu telah kembali kepada Tuhan, dan tidak lama lagi kami juga akan mengikutinya jika keadaan berterusan seperti ini.

Bersyukur Kerana Menemukan Tuhan

Walaupun terdapat ancaman ke atas kesihatan mereka, Dr Julian mengucapkan kesyukurannya kerana telah menemukan Tuhan semula.

"Saya telah tidak kembali ke rumah selama 6 hari. Saya tak tahu bila kali terakhir saya makan," katanya. Dan dia menyedari "kesia-siaan hidupnya di bumi ini" dan mahu menggunakan nafas terakhirnya membantu orang-orang lain.

Tambahan lagi, bekas ateis itu mendakwa, "Saya gembira kerana telah KEMBALI kepada Tuhan sementara saya dikelilingi penderitaan dan kematian sesamaku manusia."

Kesaksian ini mengingatkan kita bahawa ada suatu kesan rohani yang mendalam yang sedang terjadi sewaktu krisis ini. Tuhan sedang bekerja di sebalik tabir!

(Diterjemahkan daripada artikel Breaking Christian News bertajuk, "How An Atheist Doctor In Italy Found God While On Duty Fighting Against Covid-19" yang ditulis oleh Christel Berns bertarikh 27 Mac 2020)