Oleh Si Domba Putih:
Aku ada satu pengakuan – sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan
yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk menghentikan wabak Covid-19, aku telah
berlambat membayar persepuluhanku.
Ya memang aku berhasrat memberi persepuluhan itu. Cuma aku
berlambat sebab aku tak gunakan online banking, bererti aku perlu ke bank untuk
melakukan kemasukan wang (bank in) melalui mesin ATM.
Pada waktu itu, aku fikir, “Tak perlulah cepat-cepat,
apalagi sedang PKP ni… Nanti bila kusenang, dan keadaan di luar lebih tenang, akan
kupergi ke bank untuk bagi persepuluhan.”
Tanpa disangka minggu berganti minggu, aku belum lagi senang
untuk pergi ke bank. Sehingga terlupa juga untuk melakukannya.
Pada suatu hari, aku duduk di rumah, aku tiba-tiba teringat
bahawa ketika aku memerlukan wang, aku akan cepat-cepat ke mesin ATM di bank
untuk mengeluarkan duit. Tak akan kubagi alasan sibuk ataupun PKP. Tetapi kalau untuk memberi persepuluhan, aku pula
malas pergi ke bank, dan berlengah-lengah melakukannya.
Aku merasa seperti Tuhan mengingatkanku, jika aku boleh cepat-cepat
ke bank mengambil wang bila aku punya keperluan, kenapakah aku berlambat-lambat
ke bank untuk memberi persepuluhan?
Rasa terinsaf akan sikap diri yang hanya memikirkan
keperluan diri dan tidak memikirkan keperluan pelayanan Rumah Tuhan.
Aku pun pergi ke bank dan memasukkan wang ke akaun gereja.
Aku rasa sungguh sukacita selepas melakukannya! Sungguh firman Tuhan benar – “ Adalah
lebih berbahagia memberi dari pada menerima.” (KPR 20:35)
Pada bulan berikutnya, selepas mendapat gaji, aku
cepat-cepat ke bank untuk membawa persepuluhanku. Dan sekali lagi aku merasa
penuh sukacita setelah melakukannya.
Siapa kata memberi persepuluhan adalah satu beban? Ianya
bukan beban tetapi sukacita – kerana kesempatan memberi bahagianku untuk pelayanan
Rumah Tuhan.