Ahad, 30 Ogos 2020

Ahli Parlimen PAS Enggan Minta Maaf Atas Ucapan Mengenai Kitab Injil, Kata Umat Kristian "Tiada Hak Untuk Tersinggung"


KUALA LUMPUR, 29 Ogos - Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh mengatakan hari ini tidak ada keperluan baginya meminta maaf kerana mengatakan Kitab Injil telah dipesongkan atau diubah. 

Dalam laporan oleh Malaysiakini, Nik Zawawi juga berkata bahawa orang-orang Kristian tidak harus tersinggung, dan mengatakan bahawa ucapannya adalah "satu fakta".

"Mereka tiada hak untuk tersinggung. Apa yang saya katakan bukanlah satu tuduhan, tetapi satu fakta," dia dilapor mengatakan.

"Tidak ada perlu memohon maaf. Mengapakah saya harus melakukannya? Saya tidak mahu mengulas, apa yang saya katakan adalah betul. Mengapakah saya harus memohon maaf?"

Lebih awal hari ini, Persatuan Gereja-Gereja di Sarawak (ACS) telah mendesak Nik Zawawi untuk menarik balik kata-katanya di Parlimen dan menggesanya memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Kristian.

Nik Zawawi sebaliknya berkata dia rela mengadakan "dialog" mengenai perkara itu.

Ahli Parlimen PAS itu mengucapkan kata-kata itu semasa berbahas mengenai Usul (Pindaan) Pengangkutan Jalan Raya 2020 yang mengusulkan denda lebih berat untuk pemandu mabuk pada 26 Ogos. 

Walaupun diperbetulkan oleh Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, ahli parlimen PAS itu tetap bertegas bahawa dia benar dan bahawa dia telah mengucapkan kata-kata itu berdasarkan kajian perbandingan agamanya. 

Zawawi menuduh Ngeh merujuk kepada Kitab Injil yang telah dipesongkan ketika menyebut mengenai peminuman alkohol dalam Kekristianan. 

Lebih awal minggu ini, pemimpin-pemimpin gereja telah menjelaskan bahawa Kekristianan tidak melarang peminuman minuman keras tetapi menegah kemabukan. 

(Diterjemahkan daripada artikel Malay Mail bertajuk, "PAS MP Refuses To Apologise For Bible Remark, Says Christians 'Have Nor Right To Be Offended" yang ditulis oleh Soo Wern Jun bertarikh 29 Ogos 2020)