Ahad, 30 Ogos 2020

Kitab Suci Orang Kristian: Terpesong?

Dr Sherman Kuek


ADAKAH KITAB SUCI ORANG KRISTIAN TELAH DIPESONGKAN ATAU DIUBAH?

​Surat terbuka ini ditujukan dengan penuh hormat kepada:
 
YB Dr Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh
Ahli Parlimen Pasir Puteh

 
Yang Berhormat,
 
Saya merujuk kepada kenyataan Yang Berhormat dalam Dewan Rakyat pada tanggal 26 Ogos 2020 bahawa Kitab Injil, iaitu Kitab Suci Umat Kristian, telah dipesongkan atau diubah. Kenyataan yang telah diucapkan oleh Yang Berhormat telah melukakan perasaan orang-orang Kristian di negara kita. Tetapi apa yang lebih penting lagi adalah hakikat bahawa kenyataan Yang Berhormat itu sebenarnya salah dan tidak sesuai dengan fakta sejarah.

1)   Seperti Yang Berhormat, saya juga menceburi bidang pengajian dialog antara agama. Setahu saya, Al-Quran memperakui kesahihan semua Kitab Suci yang telah disampaikan kepada para nabi dan Yesus sebagaimana yang diwahyukan oleh Allah SWT untuk mengesahkan kesemua Kitab Suci itu (Al-‘Imran ayat 3, Fatir ayat 31, Yunus ayat 37, Al-Baqarah ayat 97 & 285, Al-Nisa ayat 47). Sangat logik untuk difikirkan jika terdapat sebarang korupsi di dalam Injil Kristian sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW, Allah SWT sudah tentunya memberi amaran kepada Rasulullah SAW tentang kepalsuan yang akan berlaku. Namun demikian, apa yang kita lihat daripada Al-Quran adalah pengiktirafan kepada kebenaran Kitab Suci orang Kristian.
 
2)   Nabi Muhammad SAW sendiri, ketika masa hidupnya sebagai nabi kepada umat Islam, tidak pernah meragui kebenaran Kitab Injil. Beliau menegaskan bahwa Kitab Taurat (yang menjadi Kitab bagi orang Yahudi) dan Injil (Kitab bagi orang Kristian) adalah alat yang boleh dipercayai untuk membuktikan kebenaran ajaran-ajaran beliau. Beberapa petikan daripada Quran secara tersirat dan dengan jelas mengesahkan bahawa umat Kristian dan Yahudi, juga dikenali oleh umat Islam pada zaman itu sebagai “Ahli Kitab”, supaya mengkaji dan mengamalkan kandungan daripada setiap kitab-kitab suci (Al-Baqarah  ayat 41 & 79, Al-‘Imran ayat 71, Al-Maidah ayat 47, Al-Nisa ayat 47).

Sebenarnya, terdapat tuduhan di dalam Al-Quran bahawa orang Yahudi telah mengubah ayat-ayat Kitab Suci mereka (Al-Baqarah ayat 59, Al-‘Araf ayat 162). Akan tetapi, tuduhan sebegitu terhadap penganut Kristian tidak wujud sama sekali. Malah, kesahihan terjemahan Alkitab kita tidak pernah dipersoalkan sehinggalah tahun 1046 Masihi, iaitu lebih 400 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW.
 
3.   Pada tahun 1046 Masihi, setelah menjumpai percanggahan antara kandungan Alkitab dan Al-Quran, Ibn-Hazm menuduh bahawa Alkitab telah diubah dan dipesongkan: “Memandangkan Quran adalah semestinya benar, tulisan Injil yang bercanggah itu adalah palsu. Namun Muhammad memberitahu kita untuk menghormati Injil. Oleh itu, teks yang ada pada masa sekarang tentulah telah dipalsukan oleh orang Kristian selepas zaman Muhammad.”[1]

Ibn-Hazm berpendapat sedemikian: “Jika kita membuktikan kepalsuan dalam buku-buku mereka, mereka akan kalah dalam hujah-hujah yang diambil daripada mereka.”[2] Malahan, beliau mempropagandakan bahwa “orang-orang Kristian telah kehilangan Injil yang diturunkan kecuali sedikit jejak-jejak yang ditinggalkan oleh Allah sebagai bantahan terhadap mereka.”[3]

​Akan tetapi, pandangan Ibn-Hazm tidak mendapat sokongan sebulat suara di kalangan para sarjana Islam. Ramai sarjana Islam lain yang tidak berpegang kepada pendapat beliau. Sarjana-sarjana Islam berikut adalah mereka yang menerima ketulenan teks Injil: Ali al-Tabari (meninggal pada 855 Masihi), Amr al-Ghakhiz (869 Masihi), Bukhari (810-870 Masihi), Al-Mas’udi (956 Masihi), Abu Ali Husain Bin Sina (1037 Masihi), Al-Ghazzali (1111 Masihi), Ibn-Khaldun (1406 Masihi), Tuan Sayyid Ahmad Khan (Pengasas Kolej Aligarh), dan Fakhruddin Razi.
 
4.   Sebagai seorang ahli akademik, saya pasti Yang Berhormat sedar bahawa walaupun tuduhan sering dibuat tentang bagaimana umat Kristian telah mengubah Kitab Injil, tidak ada sebarang bukti kukuh yang memihak kepada tanggapan ini.

Lagipun, adalah sukar untuk melihat kemungkinan bahawa kedua-dua orang-orang Yahudi dan Kristian, yang mana memegang Kitab Suci mereka sebagai penjaga simpanan yang sangat penting dalam keimanan, akan pula merosakkan kandungan Kitab Suci mereka yang bertujuan untuk diturunkan kepada anak-anak dan cucu-cicit mereka supaya keturunan mereka akan menerima simpanan iman kepercayaan yang sudah tercemar. Malah, Alkitab Kristian mengandungi petikan yang menunjukkan bagaimana orang Yahudi serta orang-orang Kristian tidak dibenarkan untuk mengubah Kitab sesuka hati mereka (Ulangan 4:2, 13:1; Amsal 30:5, 6; Wahyu 22:18,19).
 
Sebagai tambahan, bermulanya kemunculan Islam, Alkitab telah pun disebarkan ke seluruh dunia sehinggakan cubaan untuk mencemarkan kandungannya untuk tujuan penterjemahan sebenarnya amatlah mustahil. Orang Yahudi dan Kristian telah menduduki kebanyakan penempatan di Eropah, India, Parsi, Mesopotamia, Armenia, Asia Kecil, Palestine, tanah Arab, Ethiopia, Mesir dan seluruh Afrika Utara. Selain itu, orang-orang Yahudi dan Kristian ini juga bertentangan dengan satu sama lain menjadikan sebarang percubaan oleh salah satu pihak untuk merosakkan Kitab Suci pastinya mendapat reaksi provokasi oleh pihak bertentangan. Namun, sehingga hari ini, orang-orang Yahudi terus memegang kitab Perjanjian Lama dalam bahasa Ibrani manakala orang Kristian terus menyanjungi kitab Perjanjian Baru dalam bahasa Yunani.
 
Perlu diingatkan juga bahawa pada zaman awal perkembangan Islam, agak banyak bilangan orang Yahudi dan Kristian yang telah memeluk agama Islam. Golongan yang baru bertukar agama inilah yang terbaik untuk membuka pekung orang Yahudi dan Kristian jika terdapat kerosakan penggubahan Kitab Suci mereka. Namun demikian, sehingga kini tidak terdapat sebarang rekod salinan sama ada kitab Taurat ataupun Injil telah dibuktikan tuduhannya bahawa telah dipinda.
 
5.   Pada tahun 1947, seorang gembala Badwi yang bernama Muhammad (Ahmed el-Dhib) sedang mencari kambingnya yang hilang dan terjumpa bukaan kecil sebuah gua di sepanjang Laut Mati. Peristiwa kecil ini akhirnya membawa kepada penemuan sejumlah besar skrol – salinan Kitab Perjanjian Lama – dibuat dan tersembunyi di sana oleh mazhab Yahudi yang dipanggil Essenes yang mana telah berundur ke padang pasir Qumran dari seawal abad ketiga Sebelum Masihi. Diantara tahun 1952 dan 1956, penyelidikan selanjutnya telah mendedahkan ribuan manuskrip lain yang berharga di dalam sepuluh gua berlainan yang berdekatan. Ini juga dikenali sebagai Skrol Laut Mati. Para sarjana telah menggunakan pelbagai alat dan kaedah untuk mengetahui tarikh usia sesuatu benda telah mencapai kesimpulan sebulat suara bahwa skrol-skrol ini adalah bertarikh antara abad ketiga Sebelum Masihi dan abad pertama Masihi. Walaupun kebanyakan teks-teks ini ditulis dalam bahasa Ibrani, terdapat juga skrol yang ditulis dalam bahasa Aramaik dan Yunani.
 
Sehinggalah pencarian di Qumran ini, manuskrip Perjanjian Lama yang tertua yang ada dalam pegangan kita adalah salinan-salinan daripada manuskrip dari abad kesembilan dan kesepuluh Masihi. Namun dengan skrol dari Qumran ini, kita sekarang mempunyai manuskrip yang berusia lebih daripada ribuan tahun. Fakta yang menakjubkan adalah bahawa semua manuskrip dari kedua-dua era tersebut telah dikaji dan dikenalpasti mempunyai perbezaan yang begitu kecil, oleh kerana faktor salinan, sehingga langsung tidak mempengaruhi maksud kepada teks-teks asal.
 
Manuskrip terawal yang lain daripada Alkitab yang ada pada tangan kita pada hari ini merupakan kelangsungan konsistensi yang berterusan sesuai dengan penterjemahan yang terbaru. Manuskrip purba ini telah ditulis di atas kertas kulit dan kesahihannya disokong sebulat suara oleh kedua-dua golongan ulama dan ilmuwan sekular.

A) Sinaitik (Codex Sinaiticus) telah ditulis pada pertengahan abad keempat, lebih kurang 270 tahun sebelum kemunculan Islam. Manuskrip ini mengandungi kesemua Perjanjian Baru dan sebahagian besar daripada Perjanjian Lama. Ia dipelihara dengan baik di Muzium British di London.
 
B) Aleksandria (Codex Alexandrinus) telah ditulis pada awal abad kelima, lebih dari 200 tahun sebelum kemunculan Islam. Manuskrip ini mengandungi keseluruhan alkitab kecuali beberapa muka surat yang telah tercicir dan hilang. Ia juga dipelihara dengan baik di Muzium British di London.
 
C) Vatikan (Codex Vaticanus) telah ditulis pada awal abad keempat, lebih 200 tahun sebelum kemunculan Islam. Ia mengandungi keseluruhan kandungan Alkitab meskipun bahagian daripada Ibrani 4:14 dan selebihnya hanya ditulis oleh pakar agama kemudiannya. Ia disimpan di dalam Perpustakaan Vatikan di Roma.
 
D) Codex Ephraemi pula telah ditulis diawal abad kelima, lebih kurang 200 tahun sebelum munculnya Islam. Ia wujud dalam bentuk serpihan, mengandungi muka surat dari setiap buku daripada Alkitab. Ia disimpan rapi di dalam Perpustakaan Nasional di Paris.

Dengan mengambil kira semua yang telah dibentangkan, ini adalah bukti bahwa Alkitab yang digunakan oleh orang Kristian bukan saja bebas daripada sebarang kerosakan, malah lebih lagi, kesinambungan mesej dari versi terawal kepada yang lain sangat menakjubkan dan dipelihara dengan begitu teliti sekali di sepanjang zamannya.

Yang Berhormat, fakta-fakta yang saya kemukakan di atas bukan bermaksud untuk memburukkan kepercayaan agama lain atau memujuk orang lain untuk menukar agama mereka. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus saling menghormati kebudayaan dan kepercayaan antara sesama agar masyarakat  kita dapat wujud secara berharmoni. Tetapi sebagai seorang umat Kristian dan ahli akademik, ia juga menjadi tangungjawab saya untuk menjelaskan fakta-fakta yang salah mengenai agama saya yang disebarkan secara terbuka, kerana ucapan-ucapan sebegini berpotensi untuk mempengaruhi persepsi orang-orang yang kurang pemahaman. Seperti Yang Berhormat, ini adalah bidang pengajian saya, dan saya sama sekali tidak berhasrat untuk memburukkan mana-mana agama.
 
Saya dan semua umat Kristian di Malaysia akan terus berdoa agar masyarakat kita dapat mencapai kebahagiaan dan kedamaian yang kita idamkan. Sekian sahaja. Terima kasih.
 
 
Yang benar,
 
DR SHERMAN KUEK OFS
Leading Research Fellow
Christian Institute for Theological Engagement


(Diambil daripada artikel Sherman Kuek bertajuk, "Kitab Suci Orang Kristian: Terpesong?" bertarikh 29 Ogos 2020)