Pengerusi ACS, Bishop Besar Simon Poh berkata persatuan itu juga ingin ahli parlimen PAS itu untuk mengucapkan permohonan maaf secara terbuka kepada semua umat Kristian.
"Ucapannya bahawa 'Kitab Injil ini telah dipesongkan ataupun diubah' telah melampaui batas sensitiviti keagamaan dan dianggap sebagai penghinaan kepada semua umat Kristian yang memegang Alkitab sebagai suci," kata Poh dalam satu kenyataan.
Nik Zawawi telah mengucapkan kata-kata itu semasa perbahasan Usul (Pindaan) Pengangkutan Jalan Raya 2020 yang mengusulkan denda lebih berat ke atas pemandu mabuk pada 26 Ogos.
Poh berkata ucapan yang tidak sensitif itu dengan dakwaan keras terhadap agama orang lain tidak harus diizinkan tanpa diperbetulkan, sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia yang menjamin hak semua warganegara untuk kebebasan beragama.
"ACS komited kepada keharmornian antara kaum dan agama dan untuk menyumbang ke arah pembangunan negara menerusi saling hormat dan penerimaan di kalangan semua bangsa, agama dan status di Sarawak dan negara kita, Malaysia," katanya.
Dia menekankan bahawa ACS menganggap ucapan Nik Zawawi sebagai penghinaan langsung terhadap umat Kristian berkenaan Kitab Injil, yang dianggap kitab paling suci agama mereka.
Pemimpin Kristian itu berkata bahawa adalah tidak dapat diterima bahawa kata-kata pemimpin parti Islam itu kini telah dicatat secara kekal dalam Hansard Parlimen berkenaan prosiding itu pada 26 Ogos.
Salah tafsir Nik Zawawi mengenai Kitab Injil adalah bersifat menghasut dan menghina kepada mereka yang ingin hidup dalam aman dan harmoni di Sarawak dan keseluruhan Malaysia, katanya.
"Apabila ini menjadi penghinaan terhadap agama, ACS dengan tegas menolak bentuk ucapan seperti ini daripada Ahli Parlimen PAS itu terhadap Kekristianan dan agama-agama lain," katanya, dengan menambah bahawa pemimpin-pemimpin politik seharusnya menunjukkan teladan kesopanan dan kesusilaan, dan berusaha untuk keharmonian untuk kebaikan bersama semua orang.
Dia berkata persatuan itu memandang mulia Dewan Rakyat dan percaya bahawa semua isu harus dikendalikan dengan cara yang rasional dan sopan, tetapi melanggar batasan sehingga ketidak pekaan keagamaan dengan penghinaan terhadap kitab-kitab suci dan ajaran-ajaran agama adalah tidak sesuai sama sekali.
Ahli Parlimen PAS itu telah mengucapkan kata-kata itu untuk menyokong dakwaannya bahawa semua agama melarang meminum arak.
(Diterjemahkan daripada artikel Malay Mail bertajuk, "Sarawak Churches Tell PAS MP To Apologise, Withdraw Claims Bible Twisted" yang ditulis oleh Sulok Tawie bertarikh 29 Ogos 2020)