Jumaat, 9 September 2022

Pelangi Muncul Di Istana Windsor, Istana Buckingham

Pelangi muncul ketika orang ramai berkerumun di luar Istana Buckingham
selepas pengumuman kemangkatan Ratu Elizabeth II

LONDON: Hari ini, jutaan rakyat United Kingdom (UK) berkabung selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Bukan sahaja di UK, bahkan di negara lain, ribuan orang berkumpul sebagai tanda menzahirkan takziah kepada keluarga diraja itu.

Dalam kesedihan dengan pemergian Ratu Elizabeth II, kehadiran pelangi di beberapa lokasi di UK termasuk di Istana Windsor sedikit-sebanyak 'mewarnai' hati rakyat UK yang sedang suram.

Chris Jackson, jurugambar diraja berkongsikan gambar pelangi berhampiran Istana Windsor di laman Twitter miliknya, turut menciap:

"Selepas bendera dikibarkan separuh tiang di Istana Windsor, satu pelangi yang indah muncul berhampiran istana, untuk beberapa minit dan hilang begitu sahaja…" tulisnya.

Gambar dan ciapan itu telah mendapat lebih 122,000 tanda suka dan lebih 20,000 ulang ciap.

Sementara itu, beberapa video dan gambar kemunculan pelangi di Istana Buckingham juga turut dikongsi rakyat UK di dalam media sosial.

Awal hari ini media melaporkan, Ratu Elizabeth II, pemerintah paling lama dalam sejarah dunia moden, menghembuskan nafas terakhir pada tengah hari Khamis (waktu tempatan).

Baginda mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, Scotland, kata kenyataan Istana Buckingham.

Serentak pengumuman itu , bendera di United Kingdom (UK) dan seluruh Komanwel diturunkan separuh tiang, sementara semua jadual siaran televisyen dan radio dikemas kini, bagi menghormati kemangkatan baginda.

(Diambil daripada artikel Astro Awani bertajuk, "Pelangi Muncul Di Istana Windsor, Istana Buckingham" bertarikh 9 September 2022)