Sabtu, 10 September 2022

Penghormatan Saya Untuk Tan Sri Rev. Dr. Prince Guneratnam

Rev Terrence Sinnadurai (kanan) dengan Tan Sri Rev. Dr. Prince Guneratnam (tengah)
di Retret Pastor-Pastor di Ipoh pada 2019

Oleh Rev. Terrence Sinnadurai:

SELAMAT TINGGAL SAHABATKU TAN SRI REV. DR. PRINCE GUNERATNAM. (Ucapan yang panjang tapi dari hatiku).

Pertama kali saya bertemu dengannya adalah semasa saya masih remaja ketika gereja kami, Kajang Assembly of God pergi bermain perlawanan persahabatan dengan pelajar-pelajar Bible College of Malaysia. Pada waktu itu Prince Guneratnam (PG) adalah seorang pelajar di BCM dan dia mewakili mereka. Sebagai pemain penyerang, dia bermain dengan penuh semangat dan BCM menang perlawanan itu. 

Selepas menamatkan pengajiannya di situ, dia melayani di Kelang dan kemudian di Gereja Calvary, Damansara Height. Gereja ini telah dimulakan oleh para Misionari dan digembalakan oleh Misionari-misionari Amerika dan Rev PG adalah orang Malaysia pertama yang mengambil alih daripada mereka. Dia telah memimpin gereja itu sebagai Senior Pastor selama bertahun-tahun. Di bawah kepimpinannya, gereja itu telah bertumbuh ke bilangan yang begitu besar. Pada hari ini dia bersama gerejanya telah membina salah satu Gereja paling besar di Malaysia di Bukit Jalil. 

Calvary Convention Centre di Bukit Jalil, Kuala Lumpur

Dia seorang pengkhutbah dan pengajar yang bagus. Ada yang menggelarnya, "Putera di kalangan Para Pengkhutbah."

Kita boleh mengatakan banyak hal mengenai pencapaiannya.

Dia pernah memegang setiap kedudukan kepimpinan dalam arena Kebangsaan dan Antarabangsa dalam Persekutuan Assemblies of God. Dia seorang pemimpin dunia Kristian yang dihormati. 

Di bawah kepimpinannya, dia telah menjadi mentor kepada ramai Pastor, ramai di antara mereka adalah pemimpin dan Pastor yang setia dan berjaya hari ini. 

Tan Sri Rev Dr Prince Guneratnam

Menerusi kepimpinannya di Calvary, banyak gereja telah dimulakan di sekeliling negara dan juga di sesetengah tempat di dunia. Dia seorang Pastor yang sungguh berhati Misi. 

Dia dan isterinya Petrina meluangkan masa dari jadual mereka yang sibuk untuk menghadiri perkahwinan kami pada 1976 ketika saya cuma pelajar tahun kedua di BCM. Setelah mengucapkan tahniah kepada kami, dia berkata, "Perkahwinanmu adalah hari yang sama dengan Harijadiku."

7 tahun selepas saya menamatkan pengajian, semasa saya sedang menggembalakan Kajang Assembly of God, Malaysian Tamil Bible Institute di Hutan Melintang memerlukan seorang Pengetua. Dia sebagai Pengerusi Lembaga telah melantik saya menjadi Pengetua dan saya telah melayani Institut ini selama 13 tahun (1985-1998).

Setiap minggu, saya perlu mengambil 3 bas untuk pergi Hutan Melintang. Pada suatu hari semasa mesyuarat Lembaga, dia berkata, kita akan memberi kamu sebuah kereta Mitsubishi, yang telah ditinggalkan oleh seorang Misionari yang tidak akan kembali lagi. Begitulah perhatian dan dorongannya kepada saya.  

Oleh kerana dia adalah seorang Pastor yang berhati Misi, saya telah mengundangnya pada suatu hari ke Gereja Kajang kami pada 1979 untuk memberi cabaran kepada ahli-ahli kami semasa kebaktian Mengutamakan Misi kami yang pertama. 

Sejak itu, Gereja Kajang Assembly telah memberi kepada Misi mengikuti jejaknya. Menerusi program Misi Gereja Kajang Assembly, dalam tempoh 23 tahun saya di situ, telah merintis 20 gereja dan mendukung lebih daripada 25 pelajar ke Kolej Alkitab dan ramai daripada mereka adalah Pastor pada hari ini. Gereja masih lagi mengumpulkan dana untuk misi, merintis gereja-gereja dan mengutus anak-anak muda ke Kolej Alkitab. Begitulah besar impak hidupnya ke atas banyak gereja dan pastor di sekeliling dunia. 

Bertahun kemudian, dia telah mengunjungi tapak 4.2 ekar Rumah Kanak-Kanak kami di Semenyih, yang dipanggil Rumah Faith (sekarang Desa Amal Jireh) dengan pastor segerejanya, Rev Peter Ong dan memberkati kami dengan menaja sebuah bilik yang berharga RM30 ribu dan kami menamakannya Calvary Church Room. Pada waktu itu, dia juga telah memulakan pelayanan kebajikan gerejanya yang dinamakan Calvary Land. 

Pada 2019, setelah saya keluar hospital kerana masalah jantung, saya bertemu dengannya di Retret Pastor-Pastor Assemblies of God di Ipoh. Dia menanya mengenai kesihatan saya dan menasihati saya untuk menjaga pemakanan, kesihatan dan untuk lebih berehat kerana usia saya. 

Itulah kali terakhir saya melihatnya.

Tidak pernah sebuah gereja Malaysia menghasilkan seorang pemimpin yang begitu besar pengaruh sepertinya yang impaknya dapat dirasakan di dalam dan di luar negara. 

Negara kita juga, menerusi Yang di-Pertuan Agung telah menganugerahkan kepadanya gelaran-gelaran seperti Datuk dan Tan Sri. 

Tuhan memberkatimu Pastor PG. Ambillah rehatmu yang sewajarnya dalam hadirat Tuhan.

Kami akan merinduimu. 

Takziah seikhlas hati kami kepada isterinya Petrina dan keluarga.

(Diterjemahkan daripada hantaran Facebook Terrence Sinnadurai bertarikh 9 September 2022)