Jumaat, 6 Januari 2023

6 Cara Untuk Menjayakan Tekad Tahun Baru Anda


Oleh Phil Cooke:

Rahsia terbesar untuk menjayakan tekad Tahun Baru adalah memahami kuasa untuk berubah.

Mahu kurangkan berat badan? Dapatkan kerja yang lebih bagus? Kembali belajar di kolej? Cari pasangan hidup? Lebih dekat lagi dengan Tuhan? Apapun yang kamu inginkan, fahamilah bahawa perubahan yang sebenar adalah salah satu hal yang paling sukar untuk kita lakukan. Hakikatnya, dengan ancaman maut sekalipun tidak akan mengubah sesetengah orang. Dalam buku saya, "Jolt! Get the Jump on a World That's Constantly Changing," saya telah mendedahkan suatu kajian yang menunjukkan dalam masa hanya dua tahun, 90 peratus daripada pesakit pembedahan jantung kembali kepada amalan makan mereka yang lama - gaya hidup yang sama yang asalnya telah membawa mereka ke dalam keadaan itu. 

Untuk perubahan yang sebenar dalam kehidupan kita, kita perlukan lebih daripada impian dan tekad. Kita perlu memahami bagaimana untuk mengguna pakai jenis-jenis teknik yang akan menyebabkan transformasi sebenar terjadi. 

Sebagai seorang perunding media dan penerbit televisyen di Hollywood, saya telah meluangkan banyak masa dalam hidup saya untuk membantu organisasi-organisasi dan individu-individu memahami bagaimana perubahan dapat membawa mereka ke tahap kejayaan dan keberkesanan yang seterusnya. Dalam proses itu, saya telah mempelajari beberapa kunci untuk membantu anda sambil anda berusaha menjayakan tekad anda:

1. Lepaskan masa lepas anda. Setiap jurulatih bola sepak tahu pepatah, "Tak kira berapa kali kamu jatuh, yang penting ialah berapa kali kamu bangkit." Kegagalan masa lepas adalah pengajar yang baik, tapi kita tidak boleh terus tinggal di situ sebab kita tidak mempunyai kuasa atas masa lepas kita. Jadi berhentilah memandang ke belakang. Tolehlah dari masa lepas dan mulalah mengfokus kepada masa depan. 

2. Tahu destinasi anda. Jika anda tidak tahu ke manakah anda pergi, anda tidak akan pernah tahu jika anda tiba ke situ. Sebelum anda memulakan perjalanan ke arah perubahan, ketahuilah secara khusus apa yang anda ingin capai, dan jangan lupa untuk memberi diri anda ganjaran di sepanjang jalan. Matlamat adalah penting, tetapi jika ianya mengambil masa terlalu lama untuk dicapai, anda akan berputus asa. Jadi ciptalah "matlamat-matlamat kecil" untuk mendorong anda sepanjang perjalanan.

3. Ambil kendali akan keutamaan-keutamaan anda dan lenyapkan hal-hal yang tidak membina yang menyimpangkan anda. Jangan biarkan hal-hal tidak penting menyimpangkan anda dari mengubah hidup anda. Seperti menyusun semula kerusi-kerusi rehat di atas kapal Titanic, berjuta-juta orang menghabiskan banyak masa atas hal-hal yang sebenarnya tidak penting sementara hidup mereka berputar di luar kawalan. Anda tidak akan pernah mencapai matlamat-matlamat anda jika anda tidak memahami kuasa keutamaan. Gunakan kurang waktu untuk hal-hal yang kelihatan "perlu tindakan cepat" pada ketika ini, dan lebih waktu untuk hal-hal yang benar-benar penting. 

4. Atasi rasa takut dan tidak terjamin. Apakah yang anda takutkan? Rasa tidak terjamin dan ketakutan telah menghalang lebih ramai orang untuk mencapai kecemerlangan berbanding apapun yang lain dalam pengalaman saya, dan dalam kebanyakan kes, ianya sebenarnya tidak berasas. Agama-agama besar di dunia memberitahu kita bahawa manusia itu istimewa dan berkebolehan. Dari perspektif Kristian, anda adalah anak Allah, dicipta menurut gambaran-Nya. Apakah yang boleh menghalang anda daripada mencapai potensi anda? Pada setiap hari, ambillah langkah pertama dalam perkara yang anda takuti, dan setiap hari anda sedang meletakkan batu-bata yang baharu atas dasar kehidupan yang lebih baik. Pengkhutbah Southern yang dahulu telah katakan dengan betul, "Allah tidak ciptakan sampah!" Anda istimewa, anda unik, dan tidak ada apa pun yang anda dengan Allah tidak dapat capai bersama-sama. 

5. Dapatkan tukang-tukang sorak yang mendorong anda. Kelilingilah diri anda dengan kawan-kawan yang percaya akan anda, dan jauhi orang-orang yang negatif dalam hidup anda. Saya tidak dapat cukup menekankan hal ini. Kurangkan masa dengan orang-orang yang melenyapkan kekuatan dan sumber anda, dan lebihkan masa dengan orang-orang yang mengasihi anda dan menyokong impian-impian dan matlamat-matlamat anda.

6. Hargailah misteri kehidupan. Kehidupan bukanlah mengenai menjumpai segala jawapan yang betul; ianya mengenai menanya soalan-soalan yang betul. Seringkali kita menghabiskan banyak masa dan wang untuk jawapan-jawapan bantu-diri yang teramat ringkas. Tetapi hakikatnya, kehidupan ini tidaklah ringkas. Ianya adalah proses yang kompleks, tetapi pada waktu yang sama, ianya adalah proses penemuan yang indah. Lepaskanlah keperluan untuk memiliki segala jawapan, dan izinkanlah sedikit misteri terjadi dalam hidup anda!

Mengubah hidup anda adalah suatu proses, tetapi kunci-kunci ringkas ini akan menolong anda menikmati perjalanan anda dan mengalami perubahan sebenar dalam hidup anda pada tahun baharu ini!

Phil Cooke, Ph.D., adalah seorang penerbit filem, perunding media, dan pengarang buku, "Unique: Telling Your Story in the Age of Brands and Social Media.

(Diterjemahkan daripada artikel Charisma Magazine bertajuk, "6 Ways to Keep Your New Year's Resolutions" yang ditulis oleh Phil Cooke bertarikh 4 Januari 2016)