Khamis, 22 Disember 2022

Apakah Hadiah Yang Engkau Bawa Krismas Ini?


Oleh Si Domba Putih:

Seringkali orang akan membawa hadiah ke gereja semasa Krismas untuk acara bertukar-tukar hadiah dan sebagainya. Krismas seakan musim untuk memberi dan menerima hadiah.

Dari manakah amalan memberi hadiah ini bermula? Ada orang yang mengatakan bahawa kemungkinan amalan memberi hadiah telah bermula dari teladan orang-orang majus membawa hadiah kepada bayi Yesus seperti yang diceritakan dalam Matius 2:1-11.

Namun begitu, jika kita memperhatikan dalam Alkitab, ada satu golongan lain yang telah datang mengunjungi Yesus ketika Dia dilahirkan, iaitu para gembala (Lukas 2:1-20). Adakah para gembala itu membawa apa-apa hadiah untuk bayi Yesus?


Jika dilihat dari petikan Firman Tuhan itu, para gembala itu tidak membawa apa-apa hadiah atau buah tangan untuk bayi Yesus. Jadi kalau kita katakan bahawa amalan memberi hadiah datang dari teladan orang-orang majus, apakah yang kita nak katakan mengenai "hadiah" daripada para gembala?

Apakah sebenarnya yang telah dibawa oleh para gembala itu? Mereka jelas sekali tidak membawa apa-apa buah tangan untuk Yesus, apa yang mereka bawa hanyalah diri mereka. Dan sesungguhnya apa yang mereka bawa itulah yang paling penting.

Tuhan tidak mengkehendaki kita membawa apa-apa hadiah kepada-Nya. Dia hanya ingin kita datang kepada-Nya. Dan inilah yang paling baik kita bawakan kepada Yesus pada Krismas ini - iaitu diri kita.

Ketika Yesus lahir ke dalam dunia dua ribu tahun yang lalu, Dia tidak membawa apa-apa buah tangan atau hadiah bersama-Nya. Yang Dia bawa adalah Diri-Nya sendiri. Dan Dia adalah Hadiah Krismas yang sesungguhnya bagi manusia!

Mungkin itulah sebabnya kita memberi hadiah pada musim Krismas, kerana diinspirasikan oleh Pemberian Terbaik yang telah diberikan oleh Allah, iaitu Kristus sendiri pada Hari Krismas yang pertama.

Malaikat itu berkata kepada mereka, "Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat. Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan (Lukas 2:10-11)