Sabtu, 18 Februari 2023

Alkitab Ibrani Hampir Lengkap Yang Paling Tua Bakal Dilelongkan


NEW YORK: Sebuah Alkitab Ibrani yang berusia lebih 1,000 tahun dijangka akan dijual di sebuah pusat lelongan di New York untuk sehingga anggaran USD50 juta, begitu diumumkan Sotheby's.

Codex Sassoon - yang berasal dari hujung abad kesembilan hingga awal abad kesepuluh adalah Alkitab Ibrani hampir lengkap yang paling awal dijumpai.

(Codex adalah manuskrip kuno dalam bentuk buku).

Ianya bakal menjadi dokumen atau manuskrip paling mahal dijual melalui lelongan apabila Sotheby's menawarkannya untuk lelongan pada bulan Mei. 

"(Ianya) tidak dapat disangkal adalah salah satu teks tunggal paling penting dalam sejarah manusia," kata Richard Austin, ketua global bahagian buku dan manuskrip Sotheby's. 

Codex Sassoon adalah hanya satu daripada dua codex, atau manuskrip, yang mengandungi kesemua 24 buku Alkitab Ibrani yang telah bertahan sehingga era modern. 

Ianya jauh lebih lengkap daripada Codex Aleppo dan lebih tua daripada Codex Leningrad, dua lagi Alkitab Ibrani awal yang terkenal, kata Sotheby's.

(Alkitab Codex Leningrad adalah Alkitab Ibrani yang lengkap sepenuhnya, tapi berusia lebih muda hampir seabad daripada Codex Sassoon). 

Manuskrip itu menghubungkan Gulungan-gulungan Laut Mati - yang berasal dari seawal abad ketiga Sebelum Masihi - dan bentuk modern Alkitab Ibrani yang diterima pada hari ini. 

Ianya dinamakan sempena nama pemilik sebelumnya David Solomon Sassoon (1880-1940) yang telah mengumpulkan koleksi paling penting teks-teks kuno Yahudi di dunia.

Dokumen itu akan dilelongkan untuk kali pertama dalam masa 30 tahun, dengan anggaran pra-jualan antara USD30 juta dan USD50 juta.

Pada November 2021, Sotheby's telah menjual salah satu cetakan pertama Perlembagaan Amerika Syarikat untuk USD43 juta, suatu harga yang memecah rekod untuk manuskrip bersejarah. 

(Diterjemahkan daripada artikel Daily Express bertajuk, "World's Oldest Near-Complete Hebbrew Bible Heads To Auction" bertarikh 17 Februari 2023)