Selasa, 21 Februari 2023

Gereja Anglikan Wilayah Asia Tenggara Tolak Keputusan Church of England Mengenai Pemberkatan Untuk Pasangan Sejenis Sivil


Gereja Anglikan Wilayah Asia Tenggara telah dengan tegas menolak keputusan Church of England pada 9 Februari berkenaan pemberkatan untuk pasangan sejenis yang telah disatukan secara sivil.

Berikut adalah terjemahan surat pastoral daripada Gereja Anglikan Wilayah Asia Tenggara untuk ahli-ahli jemaatnya:

-----------------------------

18 Februari 2023

SURAT PASTORAL

Saudara-saudari yang dikasihi dalam Kristus,

Kasih kurnia dan damai sejahtera bagimu dari Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus!

Sinod Agung Church of England baru-baru ini telah meluluskan suatu usul mengizinkan paderi-paderi mereka untuk menjalankan pemberkatan pasangan sejenis yang telah disatukan secara sivil. Tentu sekali ramai daripada anggota-anggota dari Wilayah kita merasa terganggu dengan perkembangan ini dan ingin mendapatkan penjelasan berkenaan implikasinya kepada kita.

Kita amat berdukacita atas keputusan Church of England itu dan dengan tegas menyatakan bahawa pemberkatan ikatan sejenis tidak memiliki apa-apa pun dasar alkitabiah, oleh kerana Kitab Suci telah mengajarkan dengan jelas bahawa perkahwinan adalah di antara seorang lelaki dan seorang perempuan. Church of England telah mengatakan bahawa doktrin mereka mengenai perkahwinan tetap tidak berubah. Walaupun dinyatakan begitu, dalam pemahaman Anglikan kata-kata yang digunakan dalam kebaktian gereja, samada sebahagian dari liturgi atau doa-doa untuk orang-orang, haruslah setia kepada Kitab Suci. Keizinan untuk suatu bentuk kata-kata untuk pemberkatan seperti ini melanggar prinsip teologi utama ini. 

Walaupun kita tidak dapat berkompromi dengan keputusan yang dibuat oleh Church of England, kami menyatakan dengan teguh bahawa Allah mengasihi orang-orang dari semua orientasi seks, dan kami berkeputusan melakukan yang serupa. Kita tidak boleh bersetuju dengan pilihan-pilihan perhubungan yang telah dilarang dengan jelas oleh Kitab Suci, tapi kami akan menjaga dan berjalan bersama dengan orang-orang sedemikian, sambil berdoa bahawa Tuhan akan menolong mereka untuk hidup dalam ketaatan kepada Firman-Nya. 

Oleh kerana wilayah-wilayah Anglikan adalah berautonomi dan tidak berada di bawah autoriti Church of England, keputusan mereka tidak akan mengubah pendirian dan amalan kami. Sebagai sebuah Wilayah, kami akan tetap setia kepada ajaran Kitab Suci. Kami juga mengulangi komitmen kami kepada Aturan Anglikan - Ketiga Puluh Sembilan Artikel, Buku Ordinal, Buku Doa Anglikan, dan Buku-buku Homili - sambil menyatakan bahawa aturan-aturan itu tidak memberikan apa-apa konsesi untuk pemberkatan ikatan sejenis.

Walaupun memiliki sebab-sebab yang serius tidak bersetuju dengan keputusan Church of England, kami percaya bahawa kesatuan Anglikan tidaklah harus ditinggalkan secara cepat. Oleh itu kami akan terus dalam persekutuan dengan Church of England sambil berdoa bersungguh-sugguh untuknya dan berbicara dengan berani untuk kebenaran Allah. Biarlah tujuan-Nya terjadi!


Dengan segala berkat dalam Kristus,

The Most Reverend Datuk Melter Jiki Tais

(Ketua Gereja Anglikan di Asia Tenggara, Bishop Sabah)

The Right Reverend Datuk Danald Jute

(Bishop Kuching)

The Right Reverend Dr Titus Chung Khiam Boon

(Bishop Singapura)

The Right Reverend Dr Steven Abbarow

(Bishop Malaysia Barat)

(Diterjemahkan daripada Pastoral Letter, The Province of The Anglican Church of South East Asia bertarikh 18 Februari 2023)