Selasa, 21 Februari 2023

Gereja Anglikan di Singapura 'Amat Berdukacita' Atas Keputusan Church of England Beri Pemberkatan Kepada Pasangan Sejenis; Begitu Juga Gereja-Gereja Malaysia


SINGAPURA, 19 Feb: Gereja Anglikan di Singapura berkata pada hari Sabtu bahawa ianya "tidak dapat berkompromi" dengan keputusan Church of England untuk menawarkan pemberkatan kepada pasangan-pasangan sejenis.

Satu kenyataan yang ditandatangani oleh Right Reverend Titus Chung, bishop Gereja Anglikan berkata ramai daripada anggota-anggota "rasa terganggu" oleh perkembangan itu. 

"Kita amat berdukacita atas keputusan Church of England itu dan dengan tegas menyatakan bahawa pemberkatan ikatan sejenis tidak memiliki apa-apa pun dasar alkitabiah, oleh kerana Kitab Suci telah mengajarkan dengan jelas bahawa perkahwinan adalah di antara seorang lelaki dan seorang perempuan" begitu dinyatakan dalam kenyataan itu.

Tetapi Gereja itu menambah bahawa "Allah mengasihi orang-orang dari semua orientasi seks" walaupun ianya tidak bersetuju dengan pilihan perhubungan itu. 

Kenyataan itu juga telah ditandatangani oleh bishop-bishop Sabah, Kuching dan Malaysia Barat. 

Church of England telah membuat undian pada 9 Februari untuk menawarkan pemberkatan kepada pasangan-pasangan sejenis selepas perbahasan yang membelah bahagikan selama dua hari. Bagaimanapun Gereja itu masih mengekalkan larangan ke atas perkahwinan sejenis, dan paderi-paderi anggotanya boleh memilih untuk tidak menggunakan doa-doa itu. 

Manakala pasangan-pasangan sejenis tidak boleh berkahwin di gereja, mereka boleh "datang ke gereja selepas perkahwinan sivil atau ikatan sivil untuk mengucap syukur, mendedikasikan hubungan mereka kepada Allah dan menerima berkat Allah", menurut keputusan Church of England itu. 

Pada hari Sabtu, Gereja Anglikan di Singapura berkata keputusan itu tidak akan mengubah pendirian dan amalannya, dengan menyatakan bahawa gereja-gereja Anglikan adalah berautonomi dan tidak berada di bawah autoriti Church of England. - The Straits Times/ANN

(Diterjemahkan daripada artikel The Star bertajuk, "Anglican Church in Singapore 'Deeply Disappointed' By Church of England's Blessing of Same-Sex Couples; Malaysian Churches Also Unhappy" bertarikh 19 Februari 2023)