Khamis, 23 Februari 2023

Tindakan Tegas Assemblies of God Menegakkan Doktrin Tritunggal


Assemblies of God yang telah ditubuhkan pada 1914, telah menghadapi isu doktrin pada awal penubuhannya. Sebahagian pastor-pastor dalam denominasi itu terpengaruh dengan fahaman "baptisan hanya dalam Nama Yesus" yang bercanggah dengan doktrin Tritunggal. Apakah tindakan pimpinan Assemblies of God ketika itu?

Assemblies of God, secara rasminya World Assemblies of God Fellowship, adalah kumpulan lebih 140 persekutuan gereja nasional yang berautonomi dan mentadbir diri yang secara bersama membentuk denominasi Pentakosta terbesar di dunia. Pada waktu ini, Assemblies of God memiliki 384,000 pastor dan sidang-sidang jemaat di lebih 212 negara dan rantau, melayani lebih kurang 67.9 juta pengikut di sekeliling dunia. Ianya adalah kumpulan denominasi antarabangsa Kristian yang keempat paling besar dan denominasi Pentakosta terbesar di dunia. 

Sejarah Assemblies of God

Assemblies of God berasal dari Kebangunan Rohani Azusa Street pada awal abad ke-20. Gereja-gereja tradisi pada waktu itu pada umumnya tidak menerima aspek-aspek Pentakosta dalam kebangunan rohani itu, dan peserta-peserta dalam gerakan baharu itu dengan cepat mendapati diri mereka dipaksa bergerak di luar pertubuhan-pertubuhan agama yang sedia ada. Mereka mencari tempat-tempat ibadah yang baharu dan telah mengasaskan ratusan sidang jemaat baharu dengan ciri Pentakosta yang nyata. 

Sehinggalah 1914, ramai pastor dan juga ahli-ahli biasa gereja mulai menyedari betapa tersebarnya dengan meluas kebangunan rohani dan gerakan Pentakosta itu. Pemimpin-pemimpin merasakan keinginan untuk melindungi dan mengekalkan hasil daripada kebangunan rohani itu menerusi persekutuan yang bekerjasama.  

Pada April 1914, lebih kurang 300 pastor dan anggota gereja dari 20 negeri dan beberapa negara asing telah berkumpul untuk persidangan umum di Hot Springs, Arkansas, Amerika Syarikat. Dari persidangan itu telah ditubuhkan suatu persekutuan baharu di bawah nama General Council of the Assemblies of God in the United States of America.

Isu Doktrin Melanda Denominasi Baharu

Pada tahun 1913, telah timbul isu baharu apabila seorang pengkhutbah Kanada, R. E. McAlister menyatakan bahawa semua orang harus dibaptiskan hanya dalam nama Yesus, dengan menyatakan bahawa, "nama Bapa, Anak dan Roh Kudus tidak pernah digunakan dalam baptisan Kristian." Ini serta-merta membawa kontroversi apabila Frank Denny, seorang misionari Pentakosta ke China menaiki pentas dan cuba menghentikan McAlister. 

Isu itu berterusan ke 1914, apabila Frank Ewart dan Glenn Cook membaptiskan satu sama lain "dengan nama Tuhan Yesus" (dan bukannya formula Tritunggal). Namun begitu, bukanlah formula baptisan dalam nama Yesus yang menjadi persoalan terbesar, tetapi kerana golongan itu menolak kepercayaan Tritunggal. 

Pemimpin-pemimpin Assemblies of God yang kebanyakannya berpegang pada kepercayaan Tritunggal mengambil keputusan untuk mengeluarkan suatu Pernyataan Doktrin pada Persidangan Umum ke-4 pada Oktober 1916, bertajuk Assemblies of God Statement of Fundamental Truths, yang antara lainnya mengesahkan kepercayaan Tritunggal. Pernyataan Doktrin itu diterima dalam persidangan itu dan golongan Oneness yang menentang Tritunggal mula meninggalkan Assemblies of God.

Seramai satu pertiga daripada pastor-pastor dalam Assemblies of God ketika itu telah meninggalkan persekutuan itu setelah keputusan persidangan itu. Pastor-pastor yang menentang kepercayaan tritunggal itu keluar untuk menubuhkan kumpulan mereka sendiri dan mereka dikenali sebagai Oneness Pentecostal.

Assemblies of God dengan tindakan tegas mempertahankan doktrin Trituggal telah berjaya menghentikan ajaran salah itu dalam persekutuan mereka, dan terus bertumbuh di Amerika dan sekeliling dunia. Assemblies of God dan golongan Pentakosta yang percaya kepada ketritunggalan Allah pada hari ini berjumlah 280 juta di sekeliling dunia.

Nota Admin: Golongan Karismatik di sekeliling dunia juga kukuh dalam pegangan Ketritunggalan Allah dan gabungan golongan Pentakosta dan Karismatik kini berjumlah lebih 644 juta pengikut di seluruh dunia. Golongan Oneness Pentecostal yang telah berpecah dari Assemblies of God pada 1916 untuk meneruskan ajaran sesat mereka menentang Ketritunggalan Allah kini berjumlah 24 juta di sekeliling dunia, namun bilangan mereka kecil (kurang dari 4%) berbanding bilangan Pentakosta-Karismatik di dunia. 

Adalah jelas bahawa golongan Pentakosta-Karismatik di dunia rata-ratanya berpegang pada Ketritunggalan Allah, dan walaupun golongan Oneness Pentecostal menggunakan nama Pentakosta dalam gelaran mereka, golongan ini termasuk denominasi utamanya, United Pentecostal Church International (UPCI) telah dianggap sebagai ajaran sesat oleh golongan Pentakosta-Karismatik sedunia.