Rabu, 17 Mei 2023

Agong Perkenan Jemaah Menteri Sembah Cadangan Berkait Kalimah 'Allah'


PETALING JAYA: Jemaah Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan berhubung penggunaan kalimah “Allah” kepada Majlis Raja-Raja, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri dalam kenyataan berkata, keputusan itu dicapai selepas mesyuarat Jemaah Menteri membincangkan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan mengandungi kalimah “Allah”.

“Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.

“Bagi menyelesaikan isu ini secara menyeluruh dan bersepadu, Jemaah Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.

“… dan pada masa sama memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia,” katanya.

Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan itu, yang difailkan pada 18 April lalu menyatakan kedua-dua perayu tidak berniat meneruskan notis rayuan dikemukakan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan di Mahkamah Rayuan tanpa perintah terhadap kos.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Jill Ireland, wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian.

(Dipetik daripada Free Malaysia Today bertajuk "Agong Perkenan Jemaah Menteri Sembah Cadangan Berkait Kalimah 'Allah'" bertarikh 17 Mei 2023)