Jumaat, 5 Mei 2017

Gabungan Minta Bantuan Antarabangsa Cari Pastor Koh, Aktivis


SEBANYAK 46 kumpulan persatuan sivil memohon bantuan antarabangsa untuk memberi tekanan terhadap Putrajaya bagi memberi jawapan terhadap kehilangan Pastor Raymond Koh dan tiga lagi aktivis yang hilang sejak enam bulan lalu.

Gabungan itu yang akan didedahkan hari ini, percaya pihak berkuasa di sini tidak cukup berusaha untuk menyelesaikan kes itu dan berharap campur tangan antarabangsa akan akhirnya memberi sedikit jawapan berhubung kehilangan empat individu itu.

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) akan mengetuai gabungan itu untuk menggerakkan usaha sokongan dan mencari maklumat kehilangan empat aktivis itu.

Sebagai permulaan, gabungan itu akan meminta bantuan jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai “kehilangan yang dirancang”, Amnesty International dan Human Rights Watch.

Jurucakap gabungan itu Thomas Fann berkata mereka perlu mengambil pendirian lebih memaksa dan terma yang digunakan terhadap individu hilang itu ialah “kehilangan yang dirancang”.

“Ia terminologi PBB yang kami guna untuk menggambarkan apa berlaku kepada empat individu itu.

“Kami sudah memantau isu ini secara tidak formal kerana kami bukan sebahagian daripada mana-mana kumpulan rasmi.

“Bagi mengekalkan kempen ini, kami memutuskan untuk membentuk satu kumpulan secara rasmi,” kata Fann kepada The Malaysian Insight.



Gabungan itu akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) terhadap siasatan polis setakat ini.

“Keluarga mangsa cuba meminta polis bertindak tetapi mereka sambil lewa saja. Contohnya, rakaman CCTV penculikan Koh, keluarga dan rakannya yang dapat. Mereka (polis) tidak pergi cari dan periksa pun.”

Koh diculik daripada kenderaannya ketika sedang memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya pada 13 Februari.

Rakaman CCTV menunjukkan 15 lelaki dalam tiga kenderaan SUV hitam melakukan penculikan itu yang mengambil masa beberapa saat saja.

Kereta Koh, jenis Honda Accord warna perak dengan pendaftaran ST 5515D, masih hilang.

Fann juga mempersoalkan mengapa polis tidak tampil memberi maklumat terkini penyiasatan itu seperti dijanjikan sebelum ini untuk sering memaklumkan kepada keluarga.

“Apa yang kami tahu tidak ada maklumat terkini. Jika Koh disyaki memurtadkan umat Islam, maka pihak berkuasa patut ambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada. Kami hairan adakah mereka menyembunyikan sesuatu.”

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Gabungan Minta Bantuan Antarabangsa Cari Pastor Koh, Aktivis" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 5 Mei 2017)