Pada Mac lepas, saya sempat mengunjungi Kedai Buku Alpha & Omega di Kota Belud, yang terletak kira-kira 69 km dari Kota Kinabalu.
Sewaktu sampai di Kota Belud dengan menaiki bas, kawan saya sudah menunggu saya di stesen bas. Kami terus menelefon pemilik kedai Alpha & Omega untuk mengetahui lokasinya. Rupa-rupanya kedai itu dekat sahaja dari stesen bas. Ianya di tingkat satu, di atas kedai makan Hing Wang, berdekatan Bank Rakyat di bandar Kota Belud.
Saya suka betul melihat pelbagai buku-buku rohani yang dijual dan disusun rapi di rak-rak buku di kedai sederhana besar itu. Terdapat buku-buku kesaksian, pengajaran, pedoman saat teduh, Alkitab, buku pelajaran sekolah minggu dan bermacam-macam lagi. Selain buku-buku Kristian, kedai itu juga menjual buku-buku bersifat umum mengenai alam dan sains.
Kelvin Suali, pengusaha Alpha & Omega Bookstore |
Saya menanya kepadanya bagaimanakah dia telah memulakan kedai itu. Dia memberitahu saya bahawa dia memang suka membaca dan membeli buku. Kadang-kadang kawan-kawannya akan meminta pertolongannya membelikan buku dari kedai buku Kristian di Kota Kinabalu. Setelah sekian lama, dia menyedari betapa pentingnya buku-buku rohani untuk pembacaan orang-orang Kristian. Dengan itu, mulalah timbul di hatinya idea untuk membuka sebuah kedai buku Kristian di Kota Belud.
"Ramai orang Kristian yang mencari buku-buku ini. Dulunya mereka yang tinggal di Kota Marudu dan Ranau perlu pergi ke ibu kota untuk mendapatkan buku-buku ini. Sekarang mereka boleh singgah di Kota Belud untuk mendapatkannya," katanya sambil merujuk kepada kedudukan Kota Belud yang lebih dekat dengan beberapa bandar di daerah Kota Belud dan Kota Marudu.
"Buku-buku rohani sangat penting untuk pertumbuhan rohani orang-orang Kristian. Saya tergerak di hati untuk membuka kedai ini agar dapat menyediakan bahan-bahan bacaan, terutamanya dalam Bahasa Malaysia, untuk kemudahan masyarakat Kristian di Sabah," tambahnya.
Kelvin yang menguruskan kedai ini bersama isterinya, Yazrina, berkata bahawa ianya suatu cabaran untuknya memulakan kedai ini. Namun begitu dia percaya akan pertolongan Tuhan untuk menjalankan perniagaan ini yang dianggapnya satu pelayanan yang penting untuk memajukan hidup rohani orang-orang Kristian.
Foto: FB Alpha & Omega Bookstore |
Selain itu, Kelvin juga rajin memperkenalkan buku-bukunya melalui media sosial. Laman Facebooknya "Alpha & Omega Bookstore" telah menarik perhatian ramai pembaca-pembaca dari seluruh Sabah, dan termasuk juga dari Sarawak dan Semenanjung. Dia akan mengirimkan buku-buku kepada pelanggan-pelanggannya yang tidak dapat berkunjung ke kedainya.
Kedai Buku Alpha & Omega di Kota Belud |
Wah, saya gembira sekali dapat bertemu dengan Kelvin dan isterinya Yazrina, pengusaha kedai buku rohani di Kota Belud. Mereka melakukan suatu pelayanan yang sangat diperlukan oleh masyarakat Kristian. Kalau saya ke Kota Belud, saya pasti akan singgah ke kedainya lagi.