KUALA LUMPUR 28 Jun - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia
(MTUC) menggesa kerajaan untuk membekukan pengambilan pekerja warga asing untuk
tempoh dua tahun bagi mengawal lambakan pekerja asing di negara ini.
Presiden MTUC, Mohd. Khalid Atan berkata, dengan membawa
masuk pekerja asing ini, ia akan memberi impak terhadap masyarakat Malaysia
bukan hanya dari segi ekonomi tetapi akan melibatkan masalah sosial.
“Dianggarkan Malaysia mempunyai tujuh juta pekerja asing dan
hanya 2.2 juta sahaja yang bekerja secara sah. Ini suatu angka yang merisaukan
kerana pertambahan pengambilan pekerja asing ini akan menyebabkan kerajaan
tidak dapat mengawal secara menyeluruh masalah ini,” katanya ketika dihubungi
Bernama hari ini.
Beliau juga berkata, kerajaan seharusnya mengambil pekerja
asing setakat yang diperlukan sahaja dan jika pengambilannya tidak dikawal ia
akan menimbulkan kerisauan terhadap keselamatan, kesihatan dan ekonomi
masyarakat tempatan.
Katanya selain itu, kehadiran ramai pekerja asing terutama
yang tidak berdaftar boleh menyebabkan berlakunya penularan penyakit
berjangkit, selain peningkatan kes-kes jenayah yang dikaitkan dengan pekerja
asing.
“AIDS, Hepatitis B dan batuk kering antara penyakit yang
dibawa oleh pekerja asing ini dan walaupun dilaporkan statistik jenayah semakin
berkurang, tetapi masyarakat masih merasa takut akan jaminan keselamatan mereka
kerana terdapat penempatan warga asing ini di kawasan komuniti mereka,”
katanya.
Mohd Khalid berkata, ada juga majikan yang sengaja mahu
mengambil kesempatan dengan memberhentikan pekerja tempatan dan menggajikan
pekerja asing bagi menjimatkan kos dan membayar gaji yang murah.
Katanya, kerajaan sepatutnya tidak terlalu mengikut kehendak
majikan yang menyatakan Malaysia kekurangan pekerja sehinggakan terpaksa
menambah bilangan pekerja asing.
“Jangan ‘manjakan’ majikan ini kalau kita tak nak lihat
Malaysia dijadikan negara kedua pekerja asing ini sehinggakan rakyat tempatan
tidak dapat pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan harus menyemak semula cadangan untuk
menambah pengambilan pekerja asing ini agar kebanjiran mereka ini dapat
dikurangkan dan sekali gus dapat memberi jaminan akan keselamatan masyarakat
tempatan. – BERNAMA
(Diambil daripada artikel Utusan Online bertajuk, "7 Juta Pekerja Asing Di Malaysia" bertarikh 29 Jun 2016)