Oleh Chris Weatherly:
Doa adalah sesuatu yang diperkatakan oleh semua orang tetapi tak ramai orang yang melakukannya. Kita melihat orang yang terluka dan kita memberitahu orang itu, "Aku akan doakan kamu." Ianya telah menjadi ucapan biasa dalam masyarakat kita. Kita tak fikir pun apabila kita mengucapkannya tetapi ianya seringkali tidak mengandungi makna yang sebenar. Tapi apakah akan terjadi kalau kita benar-benar berniat dan merancang untuk siapa yang kita akan doakan?
Mark Batterson berkata dalam bukunya The Circle Maker, "Doa yang umum akan mendapat jawapan yang umum, tetapi doa yang khusus akan mendapat jawapan yang khusus." Marilah kita memikul cabaran itu dan mula berdoa secara terancang untuk 5 kumpulan orang yang sangat khusus.
1. PRESIDEN / PERDANA MENTERI ANDA
Negara kita mengalami polarisasi. Rakyat telah terbahagi dalam pandangan mereka terhadap politik dan Presiden. Sifat kita yang berpihak-pihak telah menyebabkan prasangka dan kebencian di antara satu dengan yang lain. Bagaimanakah jika kita memecahkan acuan prasangka dan kebencian dan mula berdoa untuk Presiden?
Saya bukan menyuruh anda mengubah pendirian politik anda. Saya hanya meminta anda melakukan perintah Paulus kepada Timotius:
Pertama-tama aku menyeru supaya permohonan, doa, syafaat dan kesyukuran dinaikkan untuk semua manusia – untuk raja-raja dan semua yang memegang kuasa, supaya kita hidup aman tenteram, salih dan penuh hormat. (1 Tim 2:1-2, AVB)
Mulalah berdoa untuk Presiden. Kemudian bila negara kita mendapat Presiden yang lain, kita berdoa untuknya juga.
2. BOS ANDA
Mungkin anda mempunyai bos yang terbaik di dunia atau anda mempunyai bos yang paling teruk di dunia. Walau bagaimanapun, berdoalah untuk bos anda. Memimpin itu rumit, dan sesiapa pun yang memimpin memerlukan doa kita.
Doakah agar bos anda mengutamakan Yesus dan orang-orang lain. Minta agar Tuhan memberi bos anda hikmat semasa berhadapan keputusan yang sukar. Doakan agar Tuhan memberi anda perkataan untuk mendorong dan menguatkan bos anda. Jika anda mula berdoa untuk bos anda, anda mungkin saja akan menerima lebih kasih karunia dan pemahaman untuknya.
3. KELUARGA ANDA
Doa boleh mengubah salasilah (keturunan) keluarga. Seorang isteri atau suami yang berdoa boleh memulihkan hubungan rumahtangga yang rosak. Seorang ayah yang berdoa dapat memimpin keluarganya dengan lebih baik. Doa membawa perubahan yang paling besar.
Sewaktu saya lebih muda, saya mendapati ayah dan ibu saya berdoa untuk bakal isteri saya lama sebelum saya mula berpacaran. Sejak usia saya yang sangat muda, mereka meminta Tuhan membawa peribadi yang tepat ke dalam hidup saya. Tahun demi tahun, mereka terus berdoa untuk ini. Doa-doa mereka terjawab. Saya telah bernikah dengan wanita terhebat di dunia.
Anda mungkin tidak melihat jawapan serta-merta dengan doa anda bagi keluarga. Tapi terus doakan saja. Biarpun anda rasa putus asa dengan doa-doa bagi keluarga, jangan berhenti. Tuhan sedang bekerja.
4. PASTOR ANDA
Pastor anda mengalami kesunyian. Mereka berhadapan dengan godaan. Ada hari-harinya pastor-pastor tidak ingin menjadi pastor. Pada hari-hari di mana pastor-pastor tidak dapat berfungsi dengan baik, doa-doa anda bekerja dalam hidup mereka.
Beberapa tahun yang lalu, saya berasa sungguh penat dari bertahun-tahun menjadi pastor. Hidup rasanya lebih suram kerana bertahun-tahun memikul beban pelayanan. Ada seorang wanita di gereja kami bertanya bagaimana dia boleh membantu pelayanan kami. Saya tahu jawapannya serta-merta. "Anda boleh doakan untuk saya," jawab saya.
Bukanlah kerana pelayanan adalah semuanya mengenai saya. Tapi saya perlukan doa untuk terus melaksanakan pelayanan dengan berkesan. Tanpa keraguan, saya tahu wanita itu berdoa untuk saya secara harian, dan dia memberitahukannya kepada saya. Apabila dia berkata, "Saya sedang berdoa untuk anda," jiwa saya merasa terdorong.
Pastikan anda berdoa untuk pastor anda. Mereka memerlukannya.
5. KAWAN-KAWAN YANG TIDAK KENAL YESUS
Ada satu trend di gereja-gereja. Kita selalu berdoa untuk orang-orang yang sakit secara jasmani, tetapi kita jarang-jarang berdoa untuk mereka yang sakit secara rohani. Saya percaya suatu pembaharuan rohani akan terjadi dalam hidup anda jika anda mula berdoa bagi kawan-kawan anda yang belum mengenal Yesus.
Apabila Yesus menceritakan kisah mengenai seratus domba dan satu yang telah tersesat, gembala itu akan melakukan apa sahaja untuk mencari satu domba yang kehilangan itu. Bagaimanakah jika anda berdoa untuk satu domba yang kehilangan dalam hidup anda? Jangan hanya doa sekali untuk mereka. Teruskan berdoa.
Saya ada peribadi yang saya doakan secara harian. Bagaimanakah dengan anda?
Saya ingin mendengar daripada anda. Siapa lagi yang anda fikir kita harus doakan saat ini? Beri komen apa yang anda fikirkan dalam kotak ulasan di bawah.
(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Chris Weatherly bertajuk, "5 People You Should Pray For Right Now" bertarikh 31 Julai 2017)