Sabtu, 5 Ogos 2017

Hari Doa Yang Mengubah Sejarah Perang - Dunkirk 1940


Ianya mulai kelihatan bahawa salah satu filem yang mesti ditonton pada musim panas ini adalah Dunkirk arahan Christopher Nolan. Filem itu mengingatkan kita salah satu peristiwa yang luar biasa dari Perang Dunia Kedua.

Kebanyakan daripada kita rasa kurang selesa dengan kisah-kisah peperangan, terutamanya yang bergembira mengenai bilangan kematian dan kemusnahan yang kita timpakan ke atas musuh-musuh kita. Hakikatnya, untuk Perang Dunia Kedua, kini hanya ada tiga peristiwa besar ketenteraan yang masih dalam ingatan orang-orang awam. Ianya adalah Dunkirk, Peperangan untuk Britain dan D-Day. 

Saya rasa tertarik bahawa setiap daripada peristiwa itu mempunyai persamaan dengan tema-tema besar Alkitab. Dunkirk adalah mengenai penyelamatan; Peperangan untuk Britain mengenai perlepasan dan D-Day mengenai pembebasan. Dunkirk, bagaimanapun adalah satu kisah unik yang mengujakan. Siapakah yang tidak tertarik dengan kisah mengenai bagaimana, ketika dikelilingi oleh musuh yang jauh lebih ramai dan kuat dan berdepan dengan kemusnahan yang pasti, seluruh tentera itu dapat melepaskan diri melalui laut? Ianya hampir seperti penceritaan semula mukjizat Keluaran dalam Alkitab, dengan Selat Inggeris menggantikan Laut Merah.


Namun begitu kisah Dunkirk bukan hanya kisah yang menarik; ianya adalah kisah yang menimbulkan renungan sebab sehingga hari ini perkataan "mukjizat" disebut mengenainya. Walau bagaimanapun, bagi orang yang paling skeptikal (tidak percaya akan mukjizat), hakikat apa yang telah berlaku di Dunkirk adalah menakjubkan. 

Jika anda tidak mengetahui kisahnya, pada 10 Mei 1940, Hitler telah melancarkan serangan ketenteraan ke atas Perancis dan Belgium. Dalam masa beberapa hari, Tentera British dikelilingi dan dalam keadaan tak bersedia - bersama dengan askar-askar lain negara-negara Bersekutu, mendapati diri mereka di pinggir laut dan dikepung oleh musuh. Pihak Penguasa Jerman dapat menyatakan dengan megah dan yakin bahawa tenteranya sedang "maju untuk memusnahkan sepenuhnya Tentera British." Bahawa kemusnahan sepenuhnya seluruh tentera adalah pasti, itulah pandangan yang dikongsi oleh ramai daripada kepimpinan politik dan ketenteraan British. Perdana Menteri Winston Churchill mendapati dirinya membuat persiapan untuk mengumumkan kepada orang awam tragedi ketenteraan yang belum pernah terjadi sebelumnya melibatkan penangkapan atau kematian satu pertiga juta askar-askarnya. 

Orang ramai berbaris panjang untuk masuk gereja pada Hari Doa Nasional 26 Mei 1940

Tetapi itu tidak terjadi. Pada 23 Mei, Raja George VI meminta agar Ahad yang akan datang harus diamalkan sebagai Hari Doa Nasional. Pada lewat petang Sabtu, keputusan ketenteraan diambil untuk membawa keluar seramai yang mungkin askar-askar tentera Bersekutu. Pada hari Ahad, seluruh negara menyerahkan diri dalam doa dengan cara yang tidak pernah berlaku sebelumnya. Saksi-saksi dan foto-foto mengesahkan berkelimpahan jemaat di rumah-rumah ibadah di seluruh negara. Orang ramai berbaris panjang di luar gereja-gereja. Pada hari yang sama, permintaan kecemasan dikeluarkan untuk semua bot dalam apa saja saiz dan bentuk menyeberangi Selat Inggeris untuk menyelamatkan tentera yang terkepung itu, panggilan yang telah dijawab oleh lebih kurang 800 bot.

Bot-bot kecil ditarik di Sungai Thames pada permulaan
Operasi Dynamo untuk menyelamatkan askar-askar
Bersekutu di pantai-pantai Dunkirk

Namun begitu, sebelum pun doa bermula (dalam pengalaman saya, doa sering bekerja seperti itu), peristiwa-peristiwa yang pelik terjadi. Dalam keputusan yang membuat general-generalnya marah dan yang masih membinggungkan para sejarahwan, Hitler memerintahkan askar-askarnya untuk berhenti dahulu. Jika mereka telah meneruskan pertempuran, kemusnahan tentera Bersekutu sudah pasti, dan Peperangan itu akan mengikuti hala yang berbeza, yang lebih gelap dan lebih dahsyat.  

Namun begitu, selama tiga hari, kereta-kereta kebal dan askar-askar Jerman duduk menunggu saja sementara operasi menyelamat itu dijalankan. Bukan itu saja, cuaca buruk pada hari Selasa menghalang Luftwaffe (angkatan kapalterbang perang Jerman) daripada membuat penerbangan, mengizinkan askar-askar Bersekutu untuk berarak tanpa halangan ke bahagian pantai. Secara bezanya, pada hari Rabu, laut luar biasa tenang, membantu mengurangkan bahaya penyelamatan melalui laut. Tatkala askar-askar Jerman akhirnya diberi perintah untuk memperbaharui serangan, lebih daripada 338,000 askar telah diselamatkan dari pantai-pantai, termasuk 140,000 askar Perancis, Belgium, Belanda dan Poland. Ramai daripada mereka akan kembali empat tahun kemudian untuk membebaskan Eropah.

Askar-askar Bersekutu berbaris menanti bot penyelamat di pantai Dunkirk

Mungkin anda boleh membahaskan bahawa semua itu adalah satu kebetulan, tetapi saya fikir tidak. Ianya jelas sekali tidak dianggap begitu pada masa itu. Ahad 9 Jun telah diisytiharkan sebagai Hari Kesyukuran Nasional, dan dengan digalakkan oleh Churchill sendiri, kata-kata "mukjizat Dunkirk" mula tersebar.

Kita sekarang tinggal di dunia di mana orang bukan saja berhati-hati mengenai mukjizat tetapi mereka lebih suka menolaknya sama sekali. Dalam kebanyakan budaya awam sekarang ianya adalah aturan hidup yang tidak boleh diubah dan dilanggar bahawa mukjizat tidak boleh dan tidak berlaku. Pandangan kini ialah apabila kita berdoa, tiada sesiapa yang mendengar doa kita. Pelik sekali bagaimana dunia telah tunggang terbalik: pada waktu silam, sedikit orang berani membantah iman kepercayaan yang melihat tangan Tuhan di mana-mana; kini sedikit orang yang berani membantah kepercayaan ateis yang tidak melihat tangan Tuhan di mana-mana. Peristiwa Dunkirk harus membuat kita berfikir kembali mengenai penolakan Tuhan sebagai pelaku dalam sejarah dan politik. Di tahap lebih praktikal, memandangkan cabaran-cabaran yang dihadapi kini oleh negara Britain, idea untuk berdoa kepada Tuhan untuk perlepasan nampaknya sesuatu yang patut digalakkan.



Sesungguhnya saya percaya bahawa Dunkirk adalah dorongan luar biasa untuk berdoa dalam iman. Betapa besarnya masalah-masalah kita, Tuhan lebih besar daripada kesemuanya. "Dorongan Dunkirk" untuk berdoa pada waktu keperluan adalah sesuai pada setiap peringkat kehidupan dan untuk setiap cabaran, dari apa yang menjadi krisis rumahtangga hinggalah ke bencana nasional.

Dan walaupun negara kita mungkin tidak menghadapi kemusnahan tentera yang pasti pada skala yang berlaku pada 1940, kita tidak perlu memandang jauh untuk melihat masalah-masalah yang besar dan melebihi kemampuan. Dunkirk mungkin adalah epik perang yang harus diingati, tetapi jauh lebih penting, ianya adalah dorongan untuk berdoa.

J.John
Reverend Canon

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Canon J. John bertajuk, "National Day Of Prayer During Dunkirk 1940" bertarikh 17 Julai 2017)