Isnin, 28 Januari 2019

Ingat, Tuhan Akan Menyudahkan Apa Yang Dia Mulakan


Oleh Pastor Rick Warren:

Sebelum Gereja Saddleback berpindah ke lokasinya sekarang, kami telah membeli sebidang tanah yang luas. Pada waktu itu, saya berfikir itu adalah impian menjadi kenyataan, tetapi rupa-rupanya terdapat banyak gergasi di tanah itu.

Syarat-Syarat Pembinaan

Pihak daerah mula meletakkan banyak syarat yang tidak masuk akal. Pertamanya, mereka hanya mengizinkan kami membina di sembilan ekar tanah itu. 

Kemudiannya mereka mengarahkan kami membina perbatasan - yang terdiri dari tanah setinggi 8 kaki - di sepanjang bahagian depan tanah kami untuk menyembunyikan bangunan kami. 

Kemudian mereka mengambil keputusan bahawa kami perlu memindahkan 150 pokok di bahagian belakang tanah kami dan menanamkannya di perbatasan itu. 

Kemudian, mereka memberitahu kami bahawa kami tidak boleh membina pusat ibadah yang boleh menempatkan 7,000 kerusi. Sebaliknya kami boleh membina pusat ibadah yang menempatkan 1,000 kerusi dan mengadakan tujuh kebaktian. 

Kemudian mereka mendesak kami membina sistem filtrasi arang untuk air, supaya air yang mengalir keluar dari tempat letak kereta akan baik dan jernih bila mengalir ke longkang.

Kemudian mereka kata kami tidak boleh membina tempat meletak kereta. Kami perlu membina garaj meletak kereta.

Akhirnya, mereka mengambil keputusan bahawa kami tidak boleh membina bangunan pra-sekolah kerana "itu bukan pelayanan gereja yang sah." Kami berkata, "Sejak bilakah kerajaan mula membuat keputusan apakah pelayanan gereja yang sah atau tidak?" 

Kami memperjuangkan selama 4 tahun. Lebih kurang 25 artikel muncul di The Los Angeles Times dan The Orange County Register dalam tempoh itu dengan tajuk berita seperti, "Projek Gereja Tergendala" dan "Projek Gereja Tergendala Lagi."

Surat Jemaat Kepada Pejabat Daerah

Saya meminta kepada jemaat kami agar menulis kepada penyelia-penyelia daerah. Tak lama dari itu, tajuk berita ini muncul, "Surat-Surat Menyokong Projek Gereja Membanjiri Pejabat Daerah." Surat diterima pada kadar 400 keping sehari. Akhirnya, penyelia-penyelia daerah menelefon saya dan berkata, "Tolong hentikan. Anda menyesakkan sistem persuratan kami."

The Orange County Register menerbitkan artikel pengarang yang menyokong Gereja Saddleback bertajuk, "Sebuah Gereja Yang Ditekan, Sebuah Gereja Yang Ditindas." Ianya mengatakan, "Jemaat gereja telah bertumbuh dalam 9 1/2 tahun dari sifar ke 7,500 orang tetapi masih berhimpun di gim sekolah menengah. Apa yang terjadi adalah birokrasi daerah cuba memaksa dan mengawal penggunaan tanah itu menurut syarat yang ditetapkan mereka. Apakah yang membuat mereka begitu angkuh sehingga menganggap mereka berhak untuk melakukan itu?"

Akhirnya, saya membawa daftar gereja kami ke penyelia daerah. Saya membentangkannya di hadapan penyelia itu dan berkata, "Terdapat 18,000 nama dalam daftar ini. Mereka semua pengundi dan mereka semua di daerah anda."

Dan itulah caranya kami bertukar tanah dengan tanah yang kami miliki sekarang. Kami telah membayar $3.5 juta untuk tanah yang pertama. Semasa perbalahan selama 4 tahun itu, tanah itu telah meningkat nilai ke $6.5 juta, dan kami bertukar ganti dengan sebidang tanah yang bernilai $9 juta. Kami melangkah masuk ke tanah Lake Forest dengan nilai milik hartanah $6 juta. Itu semuanya kerja Tuhan!

Pastor Rick Warren berkhutbah di Gereja Saddleback yang baru di Forest Lake

Tanah yang baru itu lebih kelihatan, mempunyai lebih ruang untuk digunakan, lebih mudah aksesnya, dengan jalanraya enam lorong di sebelahnya, dan jalanraya enam lorong di sebelah yang lain, dan sebatang jalanraya bertol yang menghubungkan seluruh daerah dari utara ke selatan, dan meletakkan sepertiga daripada Orange County - atau sejuta orang - dalam lingkungan jarak memandu 20 minit ke gereja ini. Tuhan tahu apa yang Dia lakukan.

Adakah risiko, perbalahan dan penundaan itu berbaloi? Tentu sekali. Sebab Tuhan menyudahkan apa yang Dia mulakan.

Ada sebahagian jemaat kami telah berkata, "Saya kesal tak sempat ikuti ujian-ujian iman yang mengujakan yang dialami oleh Saddleback dahulu. Saya belum ada di sini lagi." Tetapi bahagian paling mengujakan dalam sesebuah perlumbaan bukanlah permulaannya tetapi penghujungnya.

Tuhan Menyudahkan Apa Dia Mulakan

Perkara-perkara yang baik sudah tersedia bukan sahaja untuk jemaat anda tetapi untuk seluruh umat Tuhan. Kita semua dalam pertempuran, tetapi kita sudah tahu kita akan menang kerana Alkitab telah memberitahu kita. Saya tidak tahu waktu yang lebih mengujakan untuk hidup.

Sebagai seorang pastor, anda tidak mempunyai pilihan dalam banyak perkara. Anda tidak memilih bila dan di manakah anda dilahirkan atau apakah bakat semulajadi anda. Tuhan, dalam kekuasaan-Nya telah memilih itu untuk kita. Tetapi ada satu hal yang anda punya kuasa di atasnya dan itulah perkara yang paling penting: Ianya mengenai berapa banyak anda memilih untuk mempercayai Tuhan.

Filipus 1:6 menyatakan, "Aku yakin bahawa Allah yang telah memulakan suatu pekerjaan yang baik dalam dirimu akan menyudahkannya hingga hari Yesus Kristus" (AVB).

Anda boleh percaya kepada-Nya. Apapun yang Dia mulakan, Dia akan menyudahkan - dan menyudahkan dengan baik. 

(Diterjemahkan daripada artikel Church Leaders bertajuk, "Remember, What God Starts, He Finishes" oleh Rick Warren bertarikh 8 Julai 2018)