Selasa, 30 Jun 2020

Gejala Perpindahan Anak-Anak Muda Kristian Dari Luar Bandar Ke Bandar


Oleh Si Domba Putih:

Seorang kawan yang beribadah di sebuah gereja SIB memberitahu saya, "Sekarang sudah banyak gereja SIB di Kota Kinabalu. Di bandar KK saja sudah ada lebih 10 gereja SIB." 

Saya memahami keluhan kawan saya. Apabila terdapat banyak gereja SIB di bandar KK, maka umat Kristian tidak lagi tertumpu beribadah di beberapa gereja SIB seperti dahulu, sebaliknya akan tersebar kepada pelbagai gereja baru yang telah ditubuhkan. 

Saya sempat berbual dengan seorang pastor SIB mengenai perkembangan ini. Dia mempunyai pandangan yang agak berbeza. "Walaupun sekarang terdapat lebih banyak gereja di Kota Kinabalu, itu tidak semestinya perkara yang buruk. Kerana begitu ramai anak-anak muda Kristian yang telah berhijrah dari kampung ke bandar, maka diperlukan lebih banyak gereja untuk melayani mereka," katanya.  

Pagi tadi saya terbaca satu laporan Free Malaysia Today, di mana Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Meng telah memberikan butiran mengenai perpindahan penduduk luar bandar ke bandar di Malaysia.

Sambil merujuk angka-angka dari Jabatan Perangkaan, dia berkata 75% daripada penduduk tinggal di kawasan bandar pada 2016. 

"Daripada 75% itu, majoritinya atau 56% adalah Bumiputera. Sebenarnya, bilangan Bumiputera yang tinggal di kawasan bandar melebihi bilangan mereka yang tinggal di luar bandar dengan nisbah dua kepada satu."

Pada 2016, katanya, 13.2 juta orang Bumiputera tinggal di kawasan bandar berbanding dengan 6.2 juta yang tinggal di luar bandar. 

"Dengan kata lain, hampir 70% daripada masyarakat Bumiputera (yang majoritinya adalah masyarakat Melayu) tinggal di kawasan-kawasan bandar." 

Dalam satu kenyataan hari ini, dia berkata bahawa angka-angka pada 2020 "pasti sekali" akan menunjukkan pertambahan dalam peratusan dan bilangan Bumiputera yang tinggal di kawasan bandar.

Angka-angka dan peratusan yang disebut oleh ahli parlimen itu meliputi statistik keseluruhan untuk Malaysia. Bilangan dan peratusan untuk Sabah dan Sarawak secara terperinci mungkin berbeza. Namun begitu, kita dapat melihat trend yang serupa di Sabah dan Sarawak, di mana terjadi perpindahan besar-besaran anak-anak muda dari luar bandar ke bandar-bandar besar di Sabah dan Sarawak mahupun di Semenanjung untuk meneruskan pendidikan dan mencari pekerjaan. 

Apakah implikasinya perpindahan beramai-ramai ini terhadap pelayanan gereja-gereja di luar bandar mahupun di bandar? Adakah gereja-gereja di bandar sudah siap menerima dan melayani anak-anak muda Kristian yang berpindah ke bandar? Adakah gereja-gereja di luar bandar sudah cukup mempersiapkan anak-anak muda mereka yang bakal berpindah ke bandar-bandar besar?

Peredaran zaman terus berlaku dan gereja juga perlu terus berubah dan bersiap untuk melayani anak-anak mudanya yang kian hari kian ramai mengharungi hidup di bandar.