Julian Tan, Brolin Nicholson dan Anthony Chin dengan laporan polis mereka |
Julian Tan, Brolin Nicholson dan Anthony Chin membuat
laporan itu di Balai Polis Sekama di Kuching, Sarawak.
Nicholson yang juga pembantu khas kepada Pengerusi DAP
Sarawak, Chong Chien Jen berkata, laporan itu dibuat supaya polis menyiasat
mengapa Zawawi enggan memohon maaf kepada penganut Kristian bagi mengelakkan
perkara sama berulang kepada agama lain.
“Jika beliau ingin melakukan dialog, saya bersedia berdialog
dengan beliau dan meminta beliau tidak hanya berdialog dengan ahli Parlimen
saja, tetapi kami juga bersedia untuk berdialog bersama beliau,” katanya dalam
kenyataan pada Ahad.
Beliau turut mencabar Zawawi menunjukkan bukti dakwaannya
melalui bukti bibliografi, arkeologi dan ujian dalaman yang kerap digunakan
sejarawan untuk menentukan kesahihan sesebuah teks purba.
“Jika benar Zawawi mempunyai PhD (doktor falsafah) dalam
perbandingan agama, beliau seharusnya tahu 2 kaedah ini digunakan untuk membuktikan
kesahihan sesebuah teks purba.
“Soalan yang saya ingin tujukan kepada Zawawi ialah jika
benar kitab Injil telah dipesongkan, di mana ia telah dipesongkan? Siapa yang
memesongkan kitab Injil tersebut dan pada tahun bila ia diubah atau
dipesongkan? Kerana bagi orang Kristian, kitab Injil ialah sahih dan tidak
diubah.
“Adakah Zawawi hanya membuat kenyataan berdasarkan
cakap-cakap yang tiada bukti kukuh tanpa betul-betul mengkaji kitab Injil orang
Kristian?”
Rabu lalu, Zawawi membuat kenyataan kontroversi itu di Dewan
Rakyat ketika membahaskan rang undang-undang pindaan Akta Pengangkutan Jalan
bagi menambah hukuman buat pemandu mabuk.
Ketua ulama PAS itu dilaporkan berkata, semua agama tidak
mengizinkan penganutnya meminum arak, tetapi Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) meminta
beliau membetulkan faktanya kerana agama lain seperti Kristian, membenarkan
penganutnya minum arak, tetapi tidak sampai tahap memabukkan.
Zawawi bagaimanapun bertegas “sebelum kitab Injil
dipesongkan”, agama Kristian tidak membenarkan penganutnya minum sedikit arak
pun.
Beliau juga enggan memohon maaf dan berkata penganut
Kristian “tiada hak tersinggung” dengan kenyataannya.
Sementara itu, Malay Mail memetik Ahli Parlimen Bandar
Kuching, Kelvin Yii yang menemani 3 ahli DAP Sarawak itu membuat laporan,
berkata lebih baik membuat laporan polis daripada menggesa pihak berkuasa
melarang Zawawi dan pemimpin PAS lain memasuki Sarawak.
Katanya, PAS kini boleh mempengaruhi semua dasar negara
melalui kerjasamanya dengan Umno dan PPBM dalam Muafakat Nasional, blok politik
terbesar di dalam negara, yang mampu menjejaskan semua rakyat.
(Diambil daripada artikel Free Malayia Today bertajuk, "3 Ahli DAP Lapor Polis Gesa Pemimpin PAS Disiasat Berkait Komen Kitab Injil" bertarikh 31 Ogos 2020)